Pemain FELDA United sertai JDT

ISKANDAR PUTERI, Johor: Bekas pemain FELDA United, Danial Amier Norhisham secara rasmi menjadi ahli baharu keluarga Johor Darul Ta’zim (JDT) bagi mengharungi kempen Liga Malaysia (Liga M) musim depan.

Pemain kelahiran Kuala Lumpur itu mengikat kontrak selama dua tahun dan akan menguatkan posisi tengah. Malah dia yang berusia 23 tahun adalah projek jangkamasa panjang skuad memenangi Liga Super tujuh musim berturut-turut.

Danial Amier mengakui terkejut apabila pemilik JDT, Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim berminat mendapatkan khidmatnya pada awal musim ini, namun di atas beberapa faktor maka penghijrahan hanya dapat dilaksanakan untuk beraksi pada musim depan.

“Saya sendiri amat terkejut apabila mendapat tahu baginda berminat untuk saya menyertai JDT. Ia satu pengiktirafan dari TMJ sendiri. Ia bukan satu yang mudah dan sekali gus beri motivisi buat saya meningkatkan lagi tahap permainan.

“Menyertai JDT dan perlu bekerja keras untuk berada dalam skuad utama bukanlah tugas mudah kerana kita tahu di posisi tengah. Pasukan itu dibarisi pemain yang hebat dan saya perlu keluar daripada zon selesa dan mencabar diri sendiri bukan sahaja mampu meningkat kualiti permainan tapi berazam berada dalam skuad utama.

“Sebelum saya ke JDT, rakan-rakan seperti Safawai (Rasid), Akhyar (Rashid) dan Syamer (Kutty Abba) memberi maklumat yang terperinci mengenai pasukan itu dan ia menguatkan lagi keinginan saya menyertai JDT bagi meneruskan karier sebagai pemain profesional,” katanya.

Ditanya samada bersedia berdepan ketegasan Tunku Ismail sama ada di dalam atau di luar padang, Danial Amier menyifatkan sebagai pemain, mereka semestinya perlu menghormati majikan dan bersedia memberi persembahan terbaik ketika latihan dan perlawanan liga nanti.

Sumber: BH