Paulo Josue Menggantikan Indra Putra

Mengakui dirinya sedikit terkejut diumumkan sebagai ketua pasukan, pemain import Kuala Lumpur, Paulo Josue tetap menerima cabaran tersebut dan mahu rakan-rakan sepasukan bekerjasama erat bagi mencapai sasaran pasukan musim ini.

Indra Putra Mahayuddin adalah kapten buat Kuala Lumpur untuk dua edisi sebelum ini dalam saingan Liga Super 2018 dan 2019.

Kuala Lumpur melalui Presiden Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA), Hj. Khalid Abdul Samad, telah meletakkan sasaran buat mereka untuk The Hawks meraih tiket promosi ke Liga Super 2021.

Paulo Josue berharap yang rakan sepasukan dapat melupakan kegagalan pada musim lalu dan dapat segera bangkit untuk menjuarai Liga Premier dan kembali naik ke Liga Super.

“Saya sebenarnya terkejut dengan pengumuman tersebut. Jurulatih [Nidzam Adha] telah beri cabaran kepada saya untuk memimpin pasukan dan saya bersedia untuk menggalasnya,” ujarnya.

“Kami akan membuat yang terbaik untuk menjadi juara. Kami tahu ke mana arah pasukan ini dan saya percaya dengan kemampuan pasukan ini,” tambahnya yang bersama Kuala Lumpur sejak 2017.

Pemain tengah berpengalaman ini telah meledak tujuh gol dan merupakan tonggak utama pasukan tetapi gagal membantu mereka untuk kekal di Liga Super pada penghujung musim lalu.

Dengan kemasukkan pemain-pemain berpengalaman dan juga pemain sedia ada, Paulo Josue percaya ia sangat baik untuk pasukan dan mengharapkan kerjasama daripada semua.

“Sudah tentu saya tidak boleh menjadi kapten berseorangan. Saya perlukan bantuan rakan-rakan sepasukan. Kita juga ada pemain-pemain berpengalaman dalam pasukan seperti Indra [Putra], Subra [S. Subramaniam], Zamir [Selamat] dan juga Shukor [Adan].

“Sebagai rakan sepasukan, saya harap kita akan saling membantu. Kita ada ramai pemain berpengalaman dalam pasukan dan ianya bagus untuk pasukan,” jelas pemain berusia 30 tahun itu lagi.

Tambah pemain berasal dari Brazil itu, ketika ini mereka sedang menguatkan kerjasama di dalam pasukan dan juga membentuk kesefahaman kerana terdapat 16 pemain baharu dalam pasukan.

“Terlalu awal untuk bercakap mengenai persediaan pasukan kerana kita memiliki 16 pemain baharu. Buat masa ini, kita sedang dalam proses membentuk kesefahaman dan pra-musim kita juga tampak sangat baik,” jelasnya yang tidak mahu sejarah lalu berulang lagi.