Pasukan Liga Super Sambar Bekas Pemain Kebangsaan Thailand

Ketika tumpuan ramai terarah kepada penangguhan saingan Liga Malaysia berikutan penularan wabak Covid-19, PJ City FC pula memperkuatkan pasukan dengan menyambar bekas pemain kebangsaan Thailand, Anawin Jujeen sebelum jendela perpindahan pemain fasa pertama ditutup pada Ahad lalu.

Pemain berusia 33 tahun itu yang boleh bermain di posisi bek kanan dan sayap kanan, akan menggantikan seorang lagi pemain kuota ASEAN, Mark Hartmann yang dipinjamkan ke Uitm FC.

Anawin Jujeen bukanlah nama asing dalam saingan Liga Thailand, setelah bermain untuk Bangkok Glass dari 2007 – 2012, dia kemudiannya menyerlah mencipta nama bersama Buriram United dengan membantu pasukan itu menjulang pelbagai trofi dari 2013-2016.

Tempoh pendaftaran pertama 2020 telah berakhir!Pemain manakah rekrut terbaik setakat ini? 😎#LigaMalaysia2020

Posted by Malaysian Football League on Sunday, March 15, 2020

Anawin berhijrah menyarung jersi Suphanburi pada 2017 dan pada musim lalu telah bersama dengan PTT Rayong. Dia juga pernah mewakili pasukan kebangsaan Thailand selama beberapa musim dengan penampilan terakhir pada 2014.

“Keputusan mendapatkan Anawin adalah atas permintaan daripada jurulatih (K.Devan). Melihat kepada latar belakang dan pencapaiannya yang pernah menjulang pelbagai kejuaraan, kita tahu dia seorang pemain yang bagus dan pengalamannya akan dapat membantu melonjakkan pasukan ini, selain menjadi pembimbing kepada pemain-pemain muda,” kata Setiausaha Agung PJ City, S.Ganesh kepada The Star Online.

Empat pemain import lain di dalam pasukan PJ City adalah Demba Camara, Washington Brandao, Elizeu Araujo dan Kim Bong Jin.

Sehingga ke saat Liga Malaysia ditangguhkan, PJ City telah bermain tiga perlawanan, kurang satu berbanding pasukan-pasukan lain selepas perlawanan menentang Terengganu FC terpaksa ditangguhkan kerana ketiadaan venue.

Mereka menduduki tangga kedua tercorot dengan empat mata.