Pasukan ke-99 dunia sedia uji Harimau Malaya

Pasukan yang menduduki tangga ke-99 dalam ranking dunia, Bahrain sedia menguji skuad Harimau Malaya dalam satu perlawanan persahabatan antarabangsa di asia barat.

Sebelum ini, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menghantar permohonan kepada beberapa pasukan bola sepak di rantau asia barat untuk mengadakan perlawanan persahabatan sebagai persiapan untuk anak buah Tan Cheng Hoe menjelang perlawanan menentang Emiriah Arab Bersatu (UAE) dalam kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.

Selain itu, ketua jurulatih kebangsaan mahu perlawanan persahabatan antarabangsa itu diadakan di sana supaya pemain-pemain lebih bersedia dengan cuaca dan suasana rantau terbabit.

Menurut laporan Stadium Astro, daripada beberapa permohonan yang dihantar oleh FAM, hanya dua sahaja yang menyatakan persetujuan untuk menguji skuad Harimau Malaya iaitu Bahrain dan Palestin.

“Bahrain dan Palestin telah mengesahkan ketersediaan untuk berdepan Malaysia dalam aksi persahabatan. Sekarang terletak di tangan Cheng Hoe untuk membuat keputusan berdepan lawan yang mana,” kata Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam seperti dipetik daripada Stadium Astro.

Selain daripada menduduki tempat ke-99 dunia, Bahrain juga masih segar dengan kejayaan menjuarai Piala Negara-Negara Teluk 2019 setelah menewaskan Arab Saudi di Doha baru-baru ini.

“Beliau sedang meneliti kemampuan kedua-dua pasukan dan bakal membuat keputusan seawal bulan depan.” tambahnya lagi.

Skuad Harimau Malaya akan berentap dengan pasukan UAE pada 26hb mac depan dan kemudiannya akan pulang ke tanah air untuk bertemu pasukan No. 1 ASEAN iaitu Vietnam di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 31 mac.