Pasukan berdepan hukuman dan keistimewaan ditarik semula

Kuala Lumpur: Jika gagal mengawal penyokong daripada mematuhi standard operasi prosedur (SOP) ketika hadir ke stadium, setiap pasukan bakal berdepan hukuman dengan keistimewaan itu ditarik balik.

Itu antara peringatan yang diberikan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) kepada pasukan Liga Malaysia (Liga-M) supaya memastikan penonton mematuhi SOP yang ditetapkan selain mengamalkan norma baharu bagi mengelak penularan pandemik Covid-19.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Ab Ghani Hassan berkata, surat amaran pertama akan diberikan kepada pasukan apabila mendapati mereka gagal mengamalkan SOP kepada pihak berkaitan dan penyokong.

Beliau berkata, peluang dan kepercayaan yang diberikan kerajaan tidak boleh disia-siakan dengan tindakan tegas akan diambil ke atas pasukan sekiranya terdapat penyokong yang melanggar SOP.

“Kesalahan pertama akan diberikan surat amaran namun jika didapati tetap mengulanginya menyebabkan MFL akan menarik balik keistimewaan iaitu pasukan berkenaan bermain tanpa kehadiran penonton.

“MFL akan menempatkan pegawai perlawanan di beberapa kawasan stadium bagi memantau dan memastikan setiap individu yang berada dalam stadium mematuhi SOP yang ditetapkan,” katanya, ketika dihubungi Arena Metro.

Sebelum itu, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan penganjuran sukan tempatan dibenarkan dengan kapasiti penonton 10 peratus atau maksimum 4,000 orang.

Malah, MFL juga kemungkinan tidak akan membenarkan golongan berisiko seperti kanak-kanak dan warga emas memasuki stadium bagi mengelak penularan pandemik Covid-19.

Ab Ghani berkata, perkara terbabit sudah dibincangkan dan akan memaklumkan kepada pasukan dan pihak berkaitan mengenai perkara itu.