PAFA Tidak Akan Tiru

Setiausaha Kehormat Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA), Mohamad Azlin Mohd Nadzri menjelaskan pihaknya tidak ada perancangan untuk mengikut langkah Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) memperkenalkan sistem jualan tiket berperingkat mengikut status pasukan bermula saingan Liga Malaysia musim 2020.

Menurut kenyataannya dalam Sinar HarianPAFA akan terus mengekalkan harga tiket sedia ada kepada peminat dan penyokong bola sepak termasuk daripada pasukan lawan yang bertandang ke Stadium Perak.

Pada musim lalu, harga tiket dikenakan untuk tempat duduk terbuka adalah RM12 bagi dewasa dan RM5 bagi kanak-kanak berusia 5 hingga 7 tahun, manakala tempat duduk grandstand bagi dewasa pula adalah RM25 dan kanak-kanak (RM12).

“Kita akan terus kekalkan harga tiket sebab kita rasa ia lebih sesuai dengan keadaan di Perak ketika ini. Lagipun kita nak tarik lebih ramai orang tidak kira penyokong Perak atau penyokong pasukan lawan datang ke Stadium Perak.

“Bagi saya, FAS mungkin sudah mempunyai perancangan mereka yang tersendiri apabila mengenakan harga tiket berbeza-beza mengikut perlawanan tertentu,” katanya.

Minggu lalu, FAS mendapat pujian daripada peminat bola sepak tempatan apabila memperkenalkan sistem tiket berperingkat atau tiered ticketing sistem untuk saingan Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia musim 2020.

Ada dua peringkat yang dikenali dengan Tier 1 dan Tier 2 dimana pasukan serta harga bagi kedua-dua peringkat ini berbeza.

Tier 1 dihuni oleh pasukan yang sebelum ini pernah memenangi kejuaraan yang ditawarkan dalam saingan Liga Malaysia seperti Johor Darul Ta’zim, Perak, Pahang, Terengganu FC dan Kedah. Harga tiket yang dikenakan kepada penyokong ialah sebesar RM20.

Tier 2 pula diisi oleh baki enam pasukan Liga Super yang lain seperti Melaka United, PDRM, UiTM FC, Petaling Jaya City FC, Sabah dan Felda United. Harga tiket yang dikenakan pula sebesar RM15.