Oscar sedia jadi pemain naturalisasi

Bekas pemain tengah Chelsea Oscar berkata dia sanggup melepaskan pasport Brazilnya untuk mewakili China – jika Persekutuan Bolasepak Dunia (FIFA) menukar peraturannya.

Oscar, yang berhijrah dari Liga Perdana Inggeris ke kelab Liga Super China Shanghai SIPG pada Januari 2017, mewakili Brazil sebanyak 48 kali dan terakhir pada tahun 2015.

Di bawah peraturan sekarang, pemain 28 tahun itu tidak boleh mewakili negara lain kerana dia beraksi dalam kejohanan rasmi untuk Brazil, termasuk Piala Dunia 2014 di negaranya.

“Saya boleh mempertimbangkannya kerana sekarang ini sukar untuk saya bersama skuad Brazil memandangkan saya ada di sini.

“Tetapi di China semua orang lihat betapa bagusnya permainan saya, jadi jika skuad China memerlukan perancang yang bagus, saya rasa saya boleh membantu jika mereka mengubahnya (peraturan FIFA).

“Jika pemain-pemain dapat menukar kewarganegaraan untuk mewakili China, mereka akan menjadi pasukan yang lebih baik,” kata Oscar berkenaan kemungkinan mewakili China.

Sebagai langkah cepat untuk merealisasikan impian beraksi di Piala Dunia 2022 di Qatar, China mula menaturalisasi pemain yang tiada pertalian darah untuk mewakili mereka.

Pemain pertama dinaturalisasi adalah peny3rang kelahiran Brazil, Elkeson, 31, yang kini dikenali sebagai Ai Kesen dan sudah empat kali menyarung jersi China serta meledak tiga gol setakat ini. – AFP