Ong Kim Swee Tolak Tawaran

Datuk Ong Kim Swee mengakui menerima beberapa tawaran untuk bergelar pelatih pasukan di Liga Malaysia.

Namun bekas Ketua Jurulatih skuad Bawah-22 (B-22) negara itu berpendapat beliau masih belum boleh berbuat demikian buat masa ini.

Kontrak Kim Swee bersama skuad B-22 negara tamat pada Disember lalu. Kontrak beliau bersama Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) kemudiannya tidak disambung selepas pasukan B-22 negara gagal mara ke separuh akhir acara bola sepak di Sukan SEA Filipina yang lalu.

Namun demikian, ini tidak bermakna jurulatih yang mempunyai pengalaman lebih 20 tahun ini sudah tidak boleh menyumbang kepada pembangunan bola sepak tanah air.

Antaranya ialah sebagai Ketua Unit Pembangunan Bakat di FAM. Malah Kim Swee dilaporkan telah berbincang dengan Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam mengenai peranan barunya itu.

Bercakap kepada akhbar New Strait Times, Kim Swee dipetik sebagai berkata: “Saya menerima beberapa tawaran melatih [pasukan Liga Malaysia], namun banyak faktor lain harus diambil kira.

“Peranan bersama FAM adalah perkara yang saya telah lakukan bersama FAM sejak dua atau tiga tahun yang lalu, dan ia bukan perkara baharu.

“Saya akan bekerja di bahagian pembangunan akar umbi untuk jangka masa panjang.”

Peranan baharu Kim Swee ini juga bermakna beliau akan menjadi sebahagian daripada Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP), dan akan melakukan lawatan ke setiap negeri untuk memantau perkembangan pembangunan bola sepak.

“Ada bahagian tertentu yang saya akan selidiki secara lebih mendalam…lesen kejurulatihan pembangunan akar umbi.

“Karier saya selama ini sentiasa berkisar kepada bahagian ini,” tambah beliau lagi.

Kim Swee mengakui beliau akan merindui melakukan latihan bersama pasukan menjelang kejohanan, dan tidak menolak kemungkinan untuk kembali secara kompetitif.

Sepanjang bergelar jurulatih bersama FAM, jurulatih kelahiran Melaka ini telah mengecapi beberapa kejayaan,.

Antaranya ialah bergelar juara Liga Perdana bersama Harimau Muda pada 2009, pingat emas di Sukan SEA 2013, juara Piala Merdeka pada 2015, dan juga kejuaraan Piala Bangabandhu.