NSFC fokus kejuaraan liga perdana

Kuala Lumpur: Pasukan-pasukan dari Liga Perdana enggan memikirkan tentang cabaran serta peluang untuk berentap di Piala Malaysia kerana fokus utama mereka adalah terhadap baki saingan perlawanan liga yang akan dihadapi Selasa depan.

Ketika Negeri Sembilan FC (NSFC) dan Sarawak United FC yang sudah mengesahkan slot ke Piala Malaysia, empat pasukan lain seperti PDRM FC, Kuching City FC, Kelantan FC dan Kelantan United masih memburu baki tiga daripada lima slot yang ditawarkan untuk Liga Perdana.

Bagi ketua pasukan Negeri Sembilan FC, Zaquan Adha Abdul Radzak, dia dan rakan-rakan sepasukan buat masa ini hanya berikan tumpuan kepada aksi terakhir bertemu PDRM di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi yang akan menjadi penentu kepada kejuaraan liga musim ini.

Selepas 21 September ini, barulah dia dan rakan sepasukan akan melihat sejauh mana peluang skuad Hobin Jang Hobin dengan tidak kisah sama ada mereka diletakkan di Kumpulan A (posisi kedua Liga Perdana) dan Kumpulan C (posisi pertama Liga Perdana).

Memandangkan sasaran utama layak ke Liga Super untuk musim depan sudah dipenuhi, NSFC menganggap peluang di Piala Malaysia adalah sebagai satu penghormatan.

”Mana-mana sahaja kumpulan kami akan diletakkan, Negeri Sembilan akan beri saingan sebaik mungkin kerana peluang bersaing di Piala Malaysia adalah satu penghormatan terbesar buat mana-mana pasukan.

“Sama ada kami dalam kumpulan dengan Penang FC atau Kedah Darul Aman FC, tidak jadi masalah kerana kita memang tahu kualiti yang ada pada pasukan Liga Super tetapi kita akan cuba bersaing.

“Mana-mana pasukan Liga Super bagi saya kekuatan mereka adalah sama, tiada istilah pasukan ini kuat, pasukan itu tidak kuat kerana Piala Malaysia satu pertandingan di platform berbeza, ” katanya.

Dalam Kumpulan A, Penang FC yang diletakkan selaku pasukan pilihan diundi bersama Kuala Lumpur City FC, Sri Pahang FC selain pasukan kedua terbaik di Liga Perdana.

Bagi Kumpulan C, setakat ini hanya dua pasukan diketahui akan berada dalam kumpulan berkenaan iaitu Kedah Darul Aman FC dan Melaka United FC dengan dua slot menjadi milik posisi pertama dan kelima Liga Perdana. -Harian Metro