nilai pemain import baharu membabitkan lima kelab Liga Super

JENDELA perpindahan masih lagi berbaki sebulan sebelum melabuh tirai, namun nilai pemain import baharu membabitkan lima kelab Liga Super iaitu Kedah, Terengganu FC (TFC), Perak, Felda United dan terbaharu Melaka sudah mencecah RM11.4 juta.

Setakat ini, lima kelab terbabit sudah mengumumkan import baharu mereka berdasarkan pembentangan bajet kewangan masing-masing untuk musim 2020 sekali gus membuat pembelian awal membawa masuk individu berkenaan bagi menguatkan pasukan masing-masing.

Berdasarkan transfermarkt.com, setakat ini Felda United membawa masuk empat pemain import baharu yang secara keseluruhan mempunyai nilai mencecah RM4.48 juta, diikuti Terengganu RM4.2 juta, Melaka (RM1 juta), Kedah (RM924,000) dan Perak (RM792,000).

Pemain import yang dibawa masuk skuad kendalian Mohd Nidzam Jamil membabitkan pemain berasal dari Serbia, Nikola Raspopovic yang mempunyai nilai pasaran mencecah RM1.45 juta, Nicolas Velez bertanda harga RM1 juta, Frederic Bulot (RM1 juta) dan Ryutaro Megumi (RM792,000).

Namun, setakat ini pemain import baharu paling bernilai yang dibawa masuk ke kancah Liga Malaysia adalah awang import Terengganu berasal dari Mauritania iaitu Dominique Da Sylva apabila nilai pasaran dipaparkan mencecah RM 1.84 juta.

Terengganu yang dilihat ‘ghairah’ membawa masuk import baharu turut memiliki pemain pertahanan berasal dari Senegal, Babacar Diallo dengan nilai pasaran RM1.3 juta selain turut mengambil pemain dari Singapura, Faris Ramli (RM1 juta).

Melaka pula baru mengorak langkah menyusun kesebelasan utama dengan menyambar pemain berasal dari Haiti, Sony Norde yang mempunyai nilai pasaran RM 1 juta.

Kedah membawa masuk pemain kebangsaan Filipina Amin Nazari (RM924,000) manakala Perak memikat pemain Korea Selatan, Hyo Seok Jeon dengan nilai pasaran RM792,000.

Sementara itu, Pengarah Urusan Action Football Asia (M) Sdn Bhd, Effendi Jagan Abdullah berkata, nilai pasaran pemain yang diumumkan menerusi laman web berkenaan bukanlah harga sebenar untuk membawa masuk awang import bagi menguatkan pasukan Liga Malaysia.

sumber: HM

“Kemungkinan harganya lebih murah, namun bergantung kepada perjanjian dan persetujuan bersama antara pemain dan juga pengurusan pasukan.

“Mungkin ada beberapa pemain yang diletakkan dengan tanda harga tinggi, namun sebenarnya tidaklah mahal hingga mencecah jutaan ringgit,” katanya ketika dihubungi Arena Metro.