Nilai JDT bakal cecah RM1 billion – TMJ

ISKANDAR PUTERI: Pemilik kelab bola sepak Johor Darul Ta’zim  (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim menyasarkan nilai kelab berkenaan akan mencecah RM 1 billion dalam tempoh dua tahun.

Tunku Ismail berkata, misi utama JDT adalah memastikan nilai kelab berkenana akan mencecah RM1 billion dalam usaha mengumpul semua aset milik kelab yang melibatkan stadium dan fasiliti.

Katanya, empat syarikat audit terbesar dunia akan membuat penilaian terhadap nila kelab JDT yang merangkumi apa jua aset dan nilai komersil.

“Sasaran kami adalah diberi pengiktirafan dengan kelab ini bernilai RM1 billion dan kalau boleh lebih. Itu perancangan besar saya untuk pastikan JDT sentiasa berada dalam kelas tersendiri.

“Kami juga sedang dalam perbincangan bersama pemegang saham baharu dan antaranya bekas pemain antarabangsa Itali, Marco Materazzi.

“Malah beberapa bekas pemain antarabangsa bertaraf dunia juga menyatakan minat untuk membeli saham kelab JDT dan ketika ini saya memegang majoriti saham iaitu 70 peratus hingga 80 peratus dan akan memberi 20 peratus hingga 30 peratus saham kepada sahabat dan rakan penaja,” katanya pada sidang media di ibu pejabat kelab itu.

Tunku Ismail juga mengesahkan Stadium Sultan Ibrahim akan beroperasi secara rasmi pada 25 Januari dan wakil Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) akan melakukan pemeriksaaan bagi memastikan stadium berkenaan mengikut piawaian yang ditetapkan oleh badan induk bola sepak Asia.

Pada masa yang sama, Baginda juga megumumkan peruntukan RM75 juta untuk membina pusat latihan baharu yang akan di bina di sebelah stadium baharu JDT yang akan menjadi pusat  latihan kepada pemain muda JDT yang berumur 12 tahun sehingga ke skuad utama.

Katanya, pusat latihan berkenaan bertaraf antarabangsa berkenaan akan merangkumi stadium mini yang berkapasiti 8000 tempat duduk yang membabitkan perlawanan skuad remaja JDT dan juga akan membina dua padang tertutup.

‘Selain itu, pusat rawatan JDT di Pusat Latihan Padang Seri Gelam akan siap sepenuhnya pada April tahun depan dan di pusat rawatan itu akan dilengkapi dengan peralatan penjagaan kesihatan bertaraf dunia.

“Untuk pemain yang baharu, kami sudah menandatangani Liridon Krasniqi dan akan dapatkan pemain kelahiran Sepanyol yang akan saya umumkan pada Januari tahun depan kerana menghormati kontrak pemain itu yang berakhir 31 Disember ini,” kata Tunku Ismail.