”Netizen berfikiran cetek” – Jamal

“Saya melihat netizen yang suarakan pendapat supaya Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin letak jawatan terdiri daripada individu berfikiran cetek dan mungkin tidak faham dengan apa yang dia sendiri katakan. Golongan berkenaan tidak ada pengetahuan dalam sukan bola sepak, mereka mengutarakan pendapat atas dasar ikutkan hati sahaja tanpa berfikir panjang,” katanya.

Pendapat berkenaan diluahkan bekas pemain kebangsaan, Datuk Jamal Nasir Ismail yang kesal dengan segelintir netizen menyarankan supaya Hamidin melepaskan jawatan nombor satu dalam FAM itu gara-gara pasukan negara gagal menyerlah pada saingan Kejuaraan Piala Persekutuan Bola Sepak Asean (AFF) 2020 di Singapura.

Jamal Nasir berkata, dia menganggap netizen terbabit yang terdiri daripada peminat setia pasukan Harimau Malaya terlalu mengikut hati melemparkan komen sumbang tanpa memikirkan kesan serta perasaan pihak lain.

Menurutnya, secara peribadi beliau berpendapat Hamidin tidak perlu melepaskan jawatan Presiden FAM hanya kerana pasukan negara gagal menyerlah pada kejohanan Piala AFF.

“Tugas utama dia (Hamidin) dalam FAM lebih kepada pengurusan persatuan termasuk mendapatkan penaja yang akan menampung sumber kewangan persatuan, presiden tidak kena mengena secara langsung dengan pasukan serta pemain.

“Saya tidak setuju sama sekali sekiranya Hamidin meletak jawatan Presiden FAM hanya kerana mengalah dengan desakan beberapa netizen yang boleh dianggap tidak profesional serta tidak bijak.

“Semua peminat bola sepak tempatan ingin melihat skuad Harimau Malaya meraih kejayaan di pentas antarabangsa, namun kini berlaku sebaliknya, usaha memburu kejayaaan perlu dilakukan selepas ini,” katanya, di sini hari ini.

Jamal Nasir berkata, peletakan jawatan oleh ketua jurulatih kebangsaan, Tan Cheng Hoe juga tidak sepatutnya berlaku, namun keputusan berkenaan telah dibuat oleh Cheng Hoe dan semua pihak terpaksa akur.

Beliau berkata, semua persatuan bola sepak negeri menyokong penuh Hamidin sebagai Presiden FAM penggal 2021/2025, justeru pihak lain tidak perlu pertikai dengan sokongan berkenaan.

Katanya, sikap peminat bola sepak negara dapat dilihat apabila terlalu mudah menghukum apabila pasukan negara tewas dengan mengharapkan individu tertentu meletak jawatan, ketika pasukan negara mencatat kejayaan tidak pula ada isu supaya letak jawatan.

“Saya berharap netizen yang hanya pandai bercakap..dapat mencermin diri sendiri sebaliknya tidak sesuka hati menuding jari pada pihak lain. Apabila berpeluang melihat kelemahan diri sendiri pasti mereka akan sedar dan insaf,” katanya yang berharap peminat tempatan tidak mudah melatah demi kemajuan bola sepak negara

sumber : arena metro.

Jamal Nasir berkata, dia sependapat dengan Presiden Persatuan Bolasepak Sabah (Safa), Datuk Seri Bung Moktar Radin yang memberi sokongan penuh terhadap Hamidin.