Negeri Sembilan Pasukan Pertama

Dalam banyak-banyak pasukan Liga Malaysia, pasukan Negeri Sembilan menjadi pasukan pertama yang diberi kebenaran untuk memulakan sesi latihan di padang hari ini.

CEO MFL, Datuk Ab Ghani Hassan berkata, keputusan itu dibuat selepas Persatuan Bolasepak Negeri Sembilan (PBNS) mengemukakan dokumen lengkap untuk pematuhan prosedur operasi standard (SOP).

“Kalau sudah hantar dokumen lengkap, kita akan semak. Jadi tiada masalah lagi untuk MFL benarkan pasukan mulakan latihan,” katanya kepada BH Sukan.

“Tapi SOP lain yang harus diikuti pemain dan pegawai pasukan perlu dipantau oleh pegawai penyelaras yang dilantik.”

Ini bermakna, Negeri Sembilan berjaya menyelesaikan empat perkara penting yang diminta oleh MFL iaitu keputusan ujian saringan COVID-19, melantik pegawai penyelaras pemantau SOP, menamakan pusat latihan tertutup dan mendaftarkan venue kepada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

Ketua jurulatih Negeri Sembilan, Sazali Saidon berterima kasih kepada MFL kerana memberi peluang kepada pasukannya untuk melakukan persiapan selepas tiga bulan tidak berlatih bersama.

“Saya harap ia dapat berjalan lancar sekali gus membolehkan kami bersedia menghadapi baki saingan Liga Perdana musim ini.”