Nak Pergi Jauh

PENYERANG Harimau Malaya, Safawi Rasid bersedia pada bila-bila masa berhijrah sekiranya ada tawaran rasmi yang dikemukakan oleh mana-mana kelab untuk beraksi di luar negara.

Jelas Safawi, tawaran berkenaan perlu melalui kelabnya Johor Darul Ta’zim (JDT) bagi mendapatkan lampu hijau dan persetujuan bersama sebelum memikirkan langkah seterusnya.

Katanya, memang menjadi idaman bagi setiap pemain profesional untuk berkelana ke luar negara terutama Eropah bagi mengembangkan lagi bakat ke tahap tertinggi.

“Bagi saya memang kalau boleh saya nak tawaran yang rasmi dari luar negara yang akan berurusan terus dengan JDT. Secara peribadi, memang saya nak kembangkan bakat saya dalam bola sepak sebab ini adalah kehidupan saya.

“Lagipun saya mencari rezeki dengan bola sepak, jadi saya nak raih pengalaman lagi. Kalau boleh saya nak pergi lebih jauh dan insya-Allah kalau ada rezeki saya akan buat lagi baik musim ini bersama JDT.

“Jika saya dapat peluang ke luar negara ia secara tak langsung juga akan membuka mata orang luar. Malah, bukan saya sorang, ramai lagi pemain Malaysia mampu bermain di luar negara,” katanya mengulas saranan legenda Liverpool, Jamie Redknapp yang menyarankan Safawi mencuba nasib beraksi di liga Eropah.

Arena Metro semalam melaporkan, Redknapp yang juga bekas kapten The Reds mengakui terpegun dengan aksi hebat Safawi terutama menerusi tendangan kaki kiri yang amat berbisa.

Beliau yang mencatat 237 penampilan bersama Liverpool dari 1991-2002 menegaskan, Safawi memiliki potensi untuk diketengahkan di Eropah dan menyarankan supaya mengorak langkah dengan mencontohi pemain muda Jepun, Takumi Minamino apabila berani mencabar diri beraksi bersama Red Bull Salzburg di Austria sebelum dilamar Liverpool, Disember lalu.

Malah, Redknapp turut mengandaikan gaya permainan Safawi mirip penyerang Liverpool dari Mesir, Mohamed Salah yang memiliki keberanian menggelecek dan ledakan kaki kiri yang padu.

“Saya nak ucap terima kasih sebab beliau (Redknapp) cakap macam itu (gaya permainan seperti Salah). Saya macam terharu dia samakan saya macam Salah, tapi sejujurnya saya tidaklah sehebat Salah.

“Saya cuma jadi diri saya sendiri dan saya tak boleh ‘melayang’ dengan pujian itu. Tapi, apa yang beliau katakan akan buat saya lagi bersemangat untuk buat lagi…buat lagi…buat lagi,” katanya.

“Saya tak akan puas dalam bola sepak dan akan cuba sebaik mungkin demi pasukan negara dan kelab yang saya wakili,” katanya.