Mungkin Tidak Sertai Saingan AFF Suzuki Cup 2020 ?

FA Thailand menurut laporan media tempatan sedang berkira-kira untuk tidak menyertai kejohanan dwi-tahunan Asia Tenggara itu hujung tahun ini.

Perkara itu timbul selepas mereka melihat kembali jadual skuad kebangsaan yang mungkin terpaksa memilih samada memberikan fokus kepada saingan kelayakan Piala Dunia 2022 atau AFF Suzuki Cup 2020 yang berlangsung dalam tempoh yang hampir sama.

Skuad bimbingan Akira Nishino itu juga dikatakan mengambil kira beberapa faktor lain seperti kejohanan AFF Suzuki Cup 2020 tidak berada dalam tarikh kalendar antarabangsa FIFA yang menyebabkan kelab pemain-pemain mempunyai hak untuk tidak melepaskan pemain mereka.

Sekiranya kelab membuat keputusan sebegitu, ketua jurulatih Thailand itu tidak akan mempunyai barisan pemain yang diperlukan untuk mencabar pasukan-pasukan lain dan ini membimbangkan mereka.

4 tonggak utama skuad kebangsaan Thailand yang kini beraksi dalam saingan J.League iaitu Chanathip Songkrasin, Kawin Thamsatchanan (Hokkaido Consadole Sapporo), Theerathon Bunmathan (Yokohama F Marinos) dan penyerang utama mereka Teerasil Dangda (Shimizu S Pulse) berkemungkinan besar tidak akan mendapat pelepasan dari pihak pengurusan kelab.

“Menyertai kejohanan AFF Suzuki Cup adalah satu kebanggaan untuk negara-negara di ASEAN. Tetapi pihak AFF tidak menyatakan semua negara wajib menyertai kejohanan itu. Jadi, kami mungkin menolak untuk menyertainya untuk edisi 2020,” kata presiden FA Thailand kepada media tempatan Thailand.

Sebelum ini juga pernah hadir dengan cadangan untuk menghantar skuad Thailand U23 menyertai kejohanan AFF Suzuki Cup 2020 namun masih tiada sebarang kenyataan rasmi berkenaan keputusan itu setakat ini.