MOTIVASI AMAT MEMBANTU SAYA’ – DYAM TUNKU MAHKOTA JOHOR

Motivasi boleh didefinisikan sebagai satu dorongan atau sebuah alasan yang menjadi titik tolak dasar proaktif dalam mencapai tujuan secara progresif.

Sifat atau elemen ini kuat berada dalam diri DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor. Kerana elemen ini JDT terbina dengan sempurna dan kini berdiri sebagai sebuah kelab yang bereputasi tinggi dsn menjadi kebanggaan Malaysia dan Asia Tenggara.

“Hari ini saya akan lakukan apa yang lain tidak mahu lakukan dan esok saya akan mencapai apa yang lain tidak mampu capai”-DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor.

Itu adalah kenyataan yang telah dikeluarkan oleh DYAM Tunku Mahkota Johor pada 16hb Disember 2013 kepada umum. Pada tahun tersebut, JDT hanya mampu menamatkan Liga Super Malaysia pada kedudukan tempat ketiga dibawah pasukan Selangor dan menyaksikan piala rebutan liga super telah diterbangkan ke seberang tambak apabila LION XII secara mutlak diumumkan sebagai juara Liga Super Malaysia bagi musim 2013.

Pada tahun tersebut juga JDT menjadi bahan jenaka apabila gagal mengaut sebarang kejuaraan apabila hanya menjadi naib juara Piala FA dan terkandas di peringkat suku akhir Piala Malaysia. Kekalahan 6-1 di pusingan kedua Piala Malaysia 2013 paling diingati sehingga kini.

Ini adalah satu kepuasan buat kesemua rakyat Malaysia. Mereka mengatakan bahawa barisan bintang dan pasukan JDT hanya gah pada nama dan bakal terkubur pada tahun berikutnya.

Semua peristiwa dan tragedi itu tetap diingati oleh DYAM Tunku Mahkota Johor. Namun bukan sebagai mimpi buruk, tetapi sebagai pesawat supersonik yang membawa ke arah kejayaan yang lebih hakiki.

“Kekalahan hari ini adalah kemenangan hari esok. Kita perlu bercita-cita tinggi dan sanggup menempuh kegagalan. Hari ini, saya bersama anda semua, berkongsi keperitan yangsama. Tetapi ingatlah, kekalahan umpama cuaca buruk, ianya tidak kekal selamanya. Saya inginkan impian masa hadapan lebih baik daripada sejarah yang lalu. Hidup mati Johor.” – DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor, 6 Oktober 2013.

Akhirnya pada tahun berikutnya JDT terus memacu kejayaan demi kejayaan. Kegagalan yang dikecapi pada tahun dua ribu tiga belas memproduksikan adrenalin yang menakjubkan dalam pembikinan “historia” Empayar Harimau Selatan.

HOBI BAHARU
Dari sisi rutin peribadi seharian biasa baginda, elemen motivasi juga telah diadaptasi menjadi pelengkap kesempurnaan kehidupan. Bagi yang sering mengikuti perkembangan seharian DYAM Tunku Mahkota Johor, pasti akan mengetahui bahawa bermula 10 Januari 2020, baginda seperti mempunyai sebuah misi setelah memuatnaik didalam “instastory” rasmi baginda aktiviti di gym dengan melakukan latihan-latihan intensif.

Selepas itu ianya dilihat menjadi rutin latihan DYAM Tunku Mahkota Johor setiap hari. Baginda dilihat dengan secara konsisten telah melakukan beberapa gerakan ringan seperti Squat, Crunces, Jogging, Plank dan Skipping. Ini adalah antara gerakan-gerakan senaman yang banyak membantu dalam pembinaan otot dan membentuk tubuh yang ideal dalam masa yang singkat.

Akhirnya pada hari ini, DYAM Tunku Mahkota Johor mengakui bahawa baginda sebenarnya mempunyai misi untuk mendapatkan bentuk tubuh badan yang ideal. Sepanjang empat bulan rutin senaman berat yang dipratikkan, baginda mendedahkan berjaya menurunkan berat badan sehingga enam belas kilo.

BUKA RAHSIA
Kenapa ianya hanya dilakukan pada tahun ini? Apa keistimewaan tahun dua puluh dua puluh pada baginda? Itu adalah perkara yang menjadi persoalan kami sebelum ini. Semuanya terlerai apabila pada hari ini baginda memuat naik kenyataan di instastory. DYAM Tunku Mahkota Johor menyatakan faktor penyebab yang menjadi pendorong dan membuka mata baginda dalam mendapat tubuh badan yang ideal kerana dua perkara.

Pertama. Beberapa bulan lalu baginda kehilangan dua rakan akibat serangan jantung dalam usia baharu menjangkau empat puluh tahun. Timbul rasa keinsafan apabila baginda melihat isteri, putera dan puteri baginda.

“Tiada lebih bermakna dalam kehidupan selain melihat anak-anak saya membesar, berada bersama mereka sepanjang masa dan menjaga mereka. Maka saya bertekad untuk berubah”- DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor.

Kedua. Membuktikan kepada pembenci bahawa mereka sentiasa salah.

“Saya mahu kelihatan tampan untuk sentiasa membuat pembenci bengang, haha membuktikan orang salah sentiasa menjadi motivasi untuk saya”-DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor.

Namun secara terbuka DYAM Tunku Mahkota Johor menyatakan bahawa baginda belum mencapai sasaran yang ditetapkan. Sasaran adalah mencapai berat badan sebanyak 75kg.
Natijahnya, kedua-dua perkara yang menjadi penyebab itu juga berhubungkait kepada motivasi. Ya! Kerana motivasi ia telah mengubah aktiviti dan norma kehidupan baginda secara total.

Kredit artikel Page Harimau Selatan

Akhir penulisan, itu adalah satu kelebihan dan magis jika seseorang itu sentiasa optimis dalam mengambil segala kegagalan, kekurangan, kata-kata benci diolah sebagai motivasi tanpa skeptis.

Moral atas artikel ini, terbuktilah jangan berani-berani mencabar DYAM Tunku Mahkota Johor. Segala cabaran itu akan dijana sebagai motivasi oleh baginda. Harus diingati kerana cabaran itulah sehingga kini JDT menjadi terkemuka seperti hari ini.