MFL Umum Kalender Liga Malaysia 2020

Malaysian Football League (MFL) telah mengumumkan kalendar Liga Malaysia bagi musim 2020 yang bakal membuka tirai pada 28 Februari ini.

Perancangan ini dibuat selepas MFL mengambil kira jadual pertandingan AFC Champions League 2020, Pusingan Kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023, Piala AFF 2020 serta Kalendar Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) bagi pasukan kebangsaan.

Dengan pelaksanaan Economic Control Programme (ECP) pada tahun ini juga menyaksikan saingan Liga Malaysia akan bermula pada 28 Februari bagi memastikan segala prosedur dan proses ECP berjaya dipatuhi oleh semua pasukan dalam mengemukakan pelan perbelanjaan dan pendapatan sebelum boleh mendaftarkan pemain.

Selain daripada itu, tarikh-tarikh undian dan perlawanan Piala FA 2020 turut diambil kira dalam penyediaan jadual Liga Malaysia musim ini.

Malah kalendar Liga Malaysia ini juga sudah diedarkan kepada semua pasukan pada 12 Disember lalu dan segala maklum balas daripada pasukan yang diterima oleh sekretariat MFL turut telah dikemaskini.

Berikut adalah beberapa perkara utama yang diambil kira dalam penjadualan pertandingan Liga Super Malaysia (LS) 2020 dan Liga Premier Malaysia (LP) 2020.

1. Jadual perlawanan fasa pertama (LS1-LS5 dan LP1-LP5)

Jadual Liga Malaysia musim 2020 fasa pertama dikeluarkan bermula dari perlawanan LS1-LS5 dan LP1-LP5. Ini adalah lanjutan kepada undian Piala FA 2020 bagi pusingan ketiga (FA3) yang
dijadualkan pada 19 Mac 2020 dan undian bagi peringkat Suku Akhir (QF) pada 16 April 2020.

Undian akan dijalankan secara terbuka. Perlawanan liga fasa seterusnya akan dikemaskini selepas keputusan undian dan ini bagi memastikan perjalanan dan hari rehat pasukan di antara
hari perlawanan liga dan Piala FA dapat diselaraskan.

2. Format dan tempoh liga

Liga Super Malaysia 2020 dan Liga Premier Malaysia 2020 masing-masing akan melibatkan 12 pasukan dengan setiap pasukan akan bermain 22 perlawanan (11 perlawanan sebagai pasukan
tuan rumah dan 11 perlawanan sebagai pasukan pelawat). Liga akan berjalan bermula Februari hingga Julai 2020.

3. Perlawanan di dalam bulan Ramadan

Perlawanan akan diteruskan di dalam bulan Ramadan seperti musim-musim sebelum ini.

Sebanyak enam perlawanan Liga Super Malaysia 2020 dan Liga Premier Malaysia 2020 LS8-LS13 dan LP8-LP13 dan satu perlawanan Piala FA Malaysia 2020 iaitu perlawanan Suku Akhir Pertama (QF I) ini menjadikan tujuh perlawanan akan berlangsung pada bulan Ramadan.

6. FIFA DAYS

Liga hanya akan berehat semasa tarikh-tarikh FIFA DAYS. Walau bagaimanapun, pasukan kebangsaan akan bermain dalam Pusingan Kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023 pada tarikh-tarikh tersebut.

7.Venue baharu dan perkongsian venue

Bagi musim 2020 terdapat tiga venue baharu yang bakal digunakan iaitu Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri (Johor Darul Ta’zim), Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (Terengganu FC) dan Stadium UKM Bangi (UKM FC).

Walau bagaimanapun, venue-venue tersebut masih belum mendapat pengesahan dari MFL. Berikut adalah senarai pasukan yang berkongsi venue bagi musim 2020:

VENUE

NEGERI
PAHANG: Stadium Darul Makmur, Kuantan (Pahang) dan Stadium Tun Abdul Razak, Jengka (Felda United).

JOHOR: Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Putri (Johor Darul Ta’zim) dan Stadium Tan Sri Dato’ Hj Hassan Yunos, Larkin (Johor Darul Ta’zim II).

PERAK: Stadium Perak, Ipoh (Perak) dan Stadium Majlis Perbandaran Manjung (Perak II).

SELANGOR: Stadium Shah Alam (Selangor) dan Stadium Majlis Perbandaran Selayang  (Selangor 2).

TERENGGANU: Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (Terengganu FC) dan Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah (Terengganu FC II).Jika berlaku sebarang perubahan dan pindaan Kalendar serta Jadual Pertandingan MFL adalah tertakluk kepada keputusan Ahli Lembaga Pengarah MFL.