Messi buat pusingan U?

LIONEL Messi berdepan detik paling kritikal dalam kariernya ketika laporan menyatakan dia kini sedia menimbangkan pusingan U mengenai hasrat meninggalkan Barcelona.

Rundingan di antara ayah Messi, Jorge dengan presiden Barcelona, Josep Maria Bartomeu kelmarin dilaporkan menemui jalan buntu tanpa sebarang persetujuan mengenai masa depan pemain itu.

Kem Messi mendakwa pemenang enam kali Ballon d’Or itu boleh meninggalkan Nou Camp dengan percuma manakala Barca menegaskan ia sukar berlaku dan mereka mendapat sokongan La Liga.

Dan Messi kini sedia menimbangkan membuat pusingan U dramatik, menurut sumber sama di Argentina yang pertama kali menyiarkan laporan hasrat perpindahan pemain berusia 33 tahun itu.

Superstar itu yang dianggap antara pemain terhebat kini sedia menimbangkan menghabiskan baki kontraknya, menurut TyC Sports.

TyC Sports yang terkenal dengan laporan tepat di Argentina mendakwa beberapa tokoh di Barcelona merayu Messi supaya kekal dan semalam dia menimbangkan beberapa pilihan.

Laporan dari tanah air Messi mendakwa dia kini ‘90% akan kekal’ – sekali gus jika benar memberi tamparan hebat kepada Manchester City selepas tersebar berita penyatuan semulanya dengan bekas bos Barca, Pep Guardiola.

Sebelum itu dalam berita awalnya, TyC Sports memetik laporan akhbar Sepanyol, Marca yang mendakwa Jorge Messi memberitahu Bartomeu ‘Anak saya tidak akan tinggal di Barcelona’.

Tetapi gergasi Catalan itu berkeras dengan yuran perpindahan £623 juta (RM3.46 bilion) juta jika Messi mahu meninggalkan Nou Camp.

Jika laporan di Argentina boleh dipercayai, ketegasan Barca mungkin memaksa pemain terbaik mereka itu kekal sekurang-kurangnya semusim lagi.

Selain City, Paris-Saint Germain dan Juventus turut dilaporkan berminat mendapatkan khidmat Messi.