Menteri Belia dan Sukan mula atur strategi baharu

MENTERI Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu mahu Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) memperkasakan ekosistem sedia ada termasuk peringkat akar umbi yang boleh menyumbang kepada kelestarian industri bola sepak tanah air.

Menurutnya, FAM sebagai badan yang mengelola aktiviti bola sepak tempatan mempunyai pengaruh yang cukup luas dan pada masa sama perlu meningkatkan keupayaan organisasi tersebut demi kelangsungan sukan berkenaan sebagai satu industri.

Justeru, Ahmad Faizal melahirkan harapan badan induk bola sepak negara itu menjalinkan kerjasama dengan pemegang-pemegang taruh dalam usaha menjadikan sukan berkenaan dapat dimainkan oleh semua lapisan masyarakat.

“Saya juga menyarankan agar FAM melihat saingan liga di peringkat akar umbi yang boleh membantu menjana pendapatan dan juga membuka ruang pekerjaan buat bekas pemain,” katanya hari ini.

Ahmad Faizal berkata demikian selepas membuat lawatan kerja ke Wisma FAM di Kelana Jaya hari ini sambil disambut oleh Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin dan dua timbalan presiden, Datuk Wira Mohd. Yusoff Mahadi serta Datuk S. Sivasundaram.

Sepanjang pertemuan itu, Hamidin melakukan pembentangan dengan menyentuh visi dan misi FAM menerusi Peta Hala Tuju F:30, aspek kerjasama dua hala dalam Program Pembangunan Bola Sepak Negara, projek pembinaan pusat latihan kebangsaan (NTC) dan perancangan ibu pejabat baharu FAM di Putrajaya.

“Kami turut membincangkan mengenai projek NTC dan beberapa aspek pembangunan bola sepak tempatan,” kata Hamidin.

Turut hadir dalam taklimat itu ialah Setiausaha Agung FAM, Mohd. Saifuddin Abu Bakar dan Pengarah Teknikal FAM, Datuk Ong Kim Swee. – K! ONLINE