Mental pemain muda mudah ‘koyak’

PETALING JAYA: Gagal memenangi sebarang perlawanan dalam 17 aksi Liga Perdana tidak menjejaskan psikologi skuad Projek FAM-MSN kerana objektif utama pemain muda negara adalah mengutip sebanyak mungkin pengalaman bersaing dengan lawan lebih senior.

Ramai yang menyuarakan kebimbangan melihat anak-anak buah Yusri Che Lah menjadi ‘lauk’ dalam saingan liga divisyen dua negara itu apabila menghuni tangga tercorot dengan tiga mata hasil tiga seri dan 14 kali tewas.

Bekas pemain kebangsaan, Datuk Jamal Nasir menegaskan, menang atau kalah bukan ukuran utama pasukan FAM-MSN yang ditubuhkan untuk mencari pendedahan bersaing dalam liga kompetitif sebelum diketengahkan ke peringkat lebih tinggi.

“Bila bercakap tentang pendedahan dan pembangunan kita jangan bercakap aspek menang atau kalah.

“Kita kena tengok sama ada pemain yang diberi tanggungjawab ada peningkatan atau tidak daripada segi permainan.

“Jika tiada jurulatih perlu mencari pengganti selepas memberi peluang secukupnya kepada pemain itu.

“Kalau dalam 1,000 pemain mungkin hanya 20 ke 30 yang betul-betul bagus manakala selebihnya mempunyai level sama (boleh main bola saja),” katanya kepada Utusan Malaysia.

Pada Disember lalu, Persa­tuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Majlis Sukan Negara (MSN) menubuhkan skuad Projek FAM-MSN bagi mencipta laluan kerjaya buat produk Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP), termasuk Akademi Mokhtar Dahari (AMD).

Sementara itu, bekas pemain Johor Hasnizam Uzir senada de­ngan Jamal dan berpendapat tiada impak psikologi buat pemain walaupun sering mengalami kekalahan.

“Dari sudut psikologi, rasa­nya tidak memberi kesan ke­rana mereka realistik dengan kemampuan untuk menentang pasukan yang memiliki pemain lebih berpengalaman luas.

“Prestasi sepanjang Liga Perdana memang sedikit mengecewakan tapi secara realistik, pasukan ini dibarisi pemain berusia 18-19 tahun dan sukar untuk mereka bersaing.

“Masalah utama adalah pe­ngalaman dan masa yang tidak cukup di peringkat bawahan iaitu tidak bermain di Piala Belia dan Presiden,” katanya.