Menjadi Rebutan Pasukan Liga Super

Bekas Striker DC United, Deshorn Brown nampaknya menjadi rebutan di antara kelab Liga India, Bengaluru FC dan Melaka United.

Namun begitu, nampaknya Melaka United akan menjadi pemenang dalam perebutan ini dengan kelab tersebut yakin Brown tidak akan memilih kelab lain dengan pemain tersebut akan menandatangani kontrak dalam masa terdekat.

Dalam satu laporan Melakakini, Presiden Persatuan Bolasepak Melaka United (MUSA), Damien Yeo Shen Li, MU akan memastikan Brown menyertai mereka untuk Liga Super 2020 nanti.

“Memang ada dengar-dengar Bengaluru FC ingin mendapatkan khidmat dia.

“Tetapi, tak mudah untuk saya lepaskan Brown, kerana kesemua perkara melibatkan elaun dan beberapa perkara lain telah selesai dibincangkan.

“Dia juga meminta kontrak selama dua tahun bersama MU dan kita bersetuju dengan syarat dia mesti mengekalkan prestasinya dan mencapai sesuatu yang membanggakan seperti penjaring terbanyak atau sebagainya,” kata Damien.

Untuk musim 2020, Melaka United telah membawa masuk beberapa pemain untuk memperkuat pasukan mereka seperti Nurridzuan Abu Hassan, Ferris Danial, Khair Jones, Khairul Anwar, Akmal Zahir, Syamim Yahya, Aizulridzwan Razali dan penyerang import, Uche Agba yang akan bergandingan bersama Brown nanti.

Pada musim lalu, Melaka United menamatkan musim di kedudukan ke-6 liga dengan 33 mata. MU merekodkan sembilan kemenangan, enam seri dan tujuh kekalahan dalam 22 perlawanan liga pada musim lalu.