Akademi JDT Menjadi Akademi Pertama Di Malaysia Dianugerahkan

JOHOR BAHRU: Akademi Bola sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) menjadi akademi pertama di Malaysia dianugerahkan Ahli Emas Piagam SupaRimau yang diperkenalkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dalam usaha memperkasakan program akar umbi.

Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam berkata, Akademi JDT yang dikendalikan pengurusan Kelab Bola sepak JDT menepati lima kriteria khas untuk mendapat pengiktirafan tertinggi itu.

Katanya, lima kriteria khas itu adalah kepimpinan, perancangan, kemudahan, pertandingan akar umbi dan pendidikan untuk mencapai status Ahli Piagam SupaRimau FAM.

“Menerusi kepimpinan FAM ketika ini, apa yang ditekankan adalah pembangunan akar umbi. Ini langkah terbaik untuk membentuk pemain muda yang berkualiti apabila mereka beraksi di peringkat lebih tinggi.

“Bagi memastikan usaha membentuk pemain yang berkualiti, FAM akan melihat apa sahaja program akar umbi yang mampu memberi impak positif kepada setiap pemain muda yang sememangnya inginkan pendedahan terbaik.

“Ahli Piagam SupaRimau bukan sahaja terbuka kepada akademi persatuan negeri atau kelab di bawah naungan FAM, sebaliknya ia terbuka kepada akademi swasta dan hanya perlu mendaftar sahaja.

“Malah ketika ini sudah 250 akademi bola sepak sudah mendaftar,” katanya pada sidang media di ibu pejabat Kelab JDT, di sini semalam.

Turut hadir, Pengarah Teknikal FAM, Peter De Roo; Pengarah Teknikal JDT, Alistair Edwards dan Setiausaha Kehormat JDT, Kapten Mohd Anizam Jamian.

Sementara itu, Edwards menyifatkan anugerah itu membuktikan perancangan rapi yang diilhamkan pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim mendapat pengiktirafan tertinggi kerana cetusan idea beliau lebih mengutamakan kelengkapan pusat latihan dan serba lengkap.

Katanya, ketika ini seramai 120 pelatih akademi JDT membabitkan pemain bawah 12 tahun hingga 21 tahun menjalani latihan di akademi berkenaan dengan dibimbing jurulatih sepenuh masa yang ditugaskan memberi pendedahan terbaik mengenai bola sepak moden.

“Kita tidak boleh pinggirkan program akar umbi kerana pemain muda ibarat permata yang harus digilap.

“Kami ada falsafah yang mementingkan pembangunan bola sepak. Jadi, tumpuan 100 peratus turut diberikan dalam usaha kami berada di hadapan bukan sahaja skuad senior malah skuad remaja,” kata Edwards.