Mengharapkan tuah memihak kepadanya

Kuala Lumpur: Pemain tengah Selangor, Brendan Gan mengharapkan tuah memihak kepadanya untuk memenangi kategori Pemain Tengah Terbaik dalam Anugerah Bolasepak Kebangsaan (ABK) 20 Virtual selepas tercalon buat kali ketiga.

Brendan melahirkan rasa gembira apabila tercalon sekali lagi, kali ini bersama pasukan Selangor sambil menyifatkan rakan pasukan banyak membantu dalam setiap perlawanan mengharungi musim 2021.

Belum pernah berjaya mengungguli kategori itu, bekas pemain Perak itu berharap usaha kerasnya pada musim ini mampu membuahkan hasil untuk menamatkan penantian sejak tercalon pada ABK edisi 2017.

“Semestinya satu perasaan teruja apabila kali ini tercalon sekali lagi bersama calon lain yang sememangnya kita tahu mempunyai nama besar dalam Liga Malaysia. Saya tetap percaya dan berpegang kepada prinsip bahawa usaha yang keras akan membuahkan hasil lumayan dan sejak tercalon pada edisi sebelum ini sehingga sekarang membuatkan saya sentiasa ingin melakukan yang lebih baik setiap tahun.

“Untuk itu, saya hanya mengharapkan yang terbaik untuk ABK kali ini dan dengan tercalonnya pada edisi ini buat kali ketiga membuktikan saya di hala tuju yang tepat untuk terus mencapai prestasi terbaik kepada pasukan,” jelasnya.

Brendan bersaing bersama sembilan lagi calon lain iaitu Safawi Rasid yang mewakili Johor Darul Ta’zim (JDT), Afiq Fazail (JDT), Faisal Abd Halim (Pahang), Gonzalo Cabrera (JDT), Leandro dos Santos (Perak), Leandro Velazquez (JDT), Lee Tuck (Terengganu FC), Nor Azam Abdul Azih (Pahang) dan Syahmi Safari (Selangor).

ABK20 Virtual buat kali pertama membuka undian kepada penyokong dalam pemilihan pemenang bersama dengan pengundian juri professional yang terdiri daripada pemain, jurulatih dan media.

Undian yang dibuka kepada semua penyokong pada Isnin lalu (21 Disember 2020) jam 10 pagi telah pun berakhir pada Jumaat (25 Disember 2020) 11.59 malam.

Keputusan semua pemenang akan diketahui majlis yang akan berlangsung secara virtual pada 30 Disember 2020 (Rabu) .