Menerima Hakikat

Pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT), DYAM Tunku Ismail ibni Sultan Ibrahim mengajak para penyokong untuk menerima hakikat bahawa ada fasa pasang dan surut di dalam kehidupan dan hal itu terpakai kepada pasukan bola sepak.

Tidak dinafikan sejak mengemudi skuad dengan gelaran Harimau Selatan, baginda sering mengajak pasukan dan para penyokong untuk bercita-cita tinggi dan perkara itu menjadi penc3tus semangat kepada kejayaan mereka meraih pelbagai gelaran seperti juara Liga Super Malaysia enam kali berturut-turut dan Piala AFC 2015.

Namun pada saingan awal CIMB Liga Super Malaysia musim ini, persembahan pasukan JDT dilihat sedikit bergelut terutamanya ketika menentang pendatang baharu Liga Super, PDRM dan UITM FC serta pasukan bukan pilihan, Felda United sekaligus meresahkan sebahagian penyokong walaupun berjaya mempertahankan kekebalan mereka selepas 4 perlawanan setakat ini.

“Saya mengambil sepenuh tanggungjawab terhadap apa yang berlaku di JDT. Saya rasa saya telah menetapkan standard yang begitu tinggi – memenangi 15 trofi dalam tempoh tujuh tahun – dan harapan terhadap JDT juga sangat tinggi.

“Penyokong kami menganggap keputusan seri sebagai kekalahan manakala kekalahan pula diibarat sebagai tragedi tetapi kita harus menerima hakikat bahawa ada pasang surut dalam kehidupan. 

“Ada masa indah dan sebaliknya, di atas dan juga di bawah. Itulah lumrah kehidupan.” kata Tunku Ismail yang merupakan Tunku Mahkota Johor (TMJ) di laman sosial Johor Southern Tigers.

Baginda turut menyampaikan satu mesej yang menekankan bahawa pemain itu bukan mesin dan ada kalanya aksi mereka tidak berada pada tahap sebenar ekoran beberapa faktor. Antaranya jadual yang padat lebih-lebih lagi JDT turut beraksi dalam saingan ACL 2020.

Baginda berharap para penyokong memberikan penghargaan kepada deretan-deretan kejayaan yang telah disumbangkan para pemain dan pada masa yang sama memberi keyakinana kepada mereka untuk kembali ‘mengaum’ di atas padang selepas ini. 

“Kita juga harus memahami bahawa para pemain bukanlah mesin. Kita harus menghargai dan menilai apa yang telah mereka lakukan kerana walau apa pun, mereka telah memberikan kita banyak kejayaan.

“Sebagai contoh, kita telah memenangi tiga trofi tahun lepas dan memenangi Piala Sumbangsih pada permulaan musim ini. 

“Saya dapat lihat yang para pemain sedikit keletihan oleh kerana jadual yang padat. Kita mempunyai lebih perlawanan berbanding pasukan lain kerana kita juga beraksi dalam Liga Juara-Juara AFC. 

“Saya tetap yakin mereka semua akan bangkit.”

“Walau apa pun, saya sentiasa di belakang para pemain, jurulatih dan kakitangan saya setiap masa. Sama ada kami menang atau kalah, saya sentiasa bersama mereka. 

“Saya sentiasa menyokong mereka dan mengambil sepenuhnya tanggungjawab terhadap apa yang berlaku, baik dari segi persembahan atau yang lain-lain di JDT.” tambah TMJ lagi.