Menempa Nama Sebagai Rakyat Malaysia Pertama Meraih Kontrak Profesional Di Sepanyol.

PENGALAMAN berada di akademi bola sepak FC Malaga City awal tahun ini nyata menguatkan lagi semangat pemain muda negara, Ahmad Mubashshir Azizi untuk menempa nama sebagai rakyat Malaysia pertama meraih kontrak profesional di Sepanyol.

Lebih tepat, Mubashshir berazam untuk beraksi dalam saingan LaLiga yang diketahui antara liga terbaik dunia selain Liga Perdana Inggeris (EPL) di England, Bundesliga (Jerman), Seria A (Itali) dan Ligue 1 (Perancis).

Jelas tonggak pertahanan berusia 18 tahun itu, kejayaan terpilih beraksi dengan akademi FC Malaga City sememangnya mengejutkan biarpun sebelum itu ditawarkan bersama kelab EPL Burnley FC.

Namun disebabkan kesukaran untuk mendapatkan visa, dia akhirnya memilih FC Malaga City yang turut dilabel antara akademi profesional terbaik di Eropah.

“Ayah saya hantar saya pergi latihan selama dua minggu di United Kingdom (UK) Football Trials dan merekalah yang mencadangkan nama saya di FC Malaga City. Disamping itu saya juga pergi beberapa kelab di UK antaranya Burnley FC and Leyton FC.

“Saya terpilih (Burnley FC) tetapi atas masalah nak dapatkan visa jadi saya terpaksa lupakan hasrat itu dan memilih FC Malaga City di Sepanyol.

“Memang tahap permainan bola sepak di Eropah agak berbeza dengan di sini (Malaysia). Kalau boleh saya nak teruskan bermain di Sepanyol dan harap dapat sertai mana-mana kelab di sana atau pasukan lain di Eropah,” katanya ketika dihubungi.

Menerusi laporan Arena Metro sebelum ini, terdapat empat pemain muda negara berjaya mengetuk pintu akademi terkemuka Sepanyol, FC Malaga City termasuk Mubashshir, Allee Putra Azril, Aniq Asri Nasharudin Elias dan M Devekumaran.

Selain mereka, dua lagi pemain muda iaitu Luqman Hakim Shamsudin dijangka akan berkelana ke Liga Jupiler di Belgium, sementara Omar Raiyan Kama Azlan disahkan sudah menandatangani kontrak dengan kelab terkemuka Serbia, Red Star Belgrade.