Sekumpulan Pemain Kedah Mencetuskan Tanda Tanya

ALOR SETAR: Imej memaparkan sekumpulan pemain Kedah yang menunjukkan lima jari dalam laman sosial Facebook seperti tersebar ketika ini mencetuskan tanda tanya berkaitan isu gaji tertunggak yang masih membelenggu skuad Lang Merah.

Menerusi foto berkenaan yang dimuat naik dalam album ujian calitan atau ‘Swab Test’ oleh Liga Bolasepak Malaysia (MFL) semalam, memaparkan foto sekumpulan pemain Kedah yang sudah melakukan ujian calitan.

Perkongsian gambar berkenaan menimbulkan pelbagai persoalan dikalangan penyokong Kedah yang membuat tafsiran masing-masing berkaitan skuad Lang Merah yang masih dibelenggu isu tunggakan gaji sejak Februari lalu.

Menerusi komen dalam media sosial, seorang peminat yang dikenali sebagai mr. Jbat turut merasa pelik apabila semua pemain menunjukkan isyarat lima jari `ketika foto dirakam dan tersebar dalam Whatsapp kelab penyokong Kedah.

“Tu pakat buat 5.. 5 bulan x bayaq gaji pa.” katanya.

Luahan berkenaan adalah dalam loghat Kedah yang bermaksud isyarat lima yang ditunjukkan itu adakah bermaksud tak bayar gaji lima bulan.

Seorang lagi penyokong Kedah dengan nama AJ turut hairan dengan isyarat yang dibuat oleh pemain Kedah pada ketika foto ini dirakam.

“Apakah maksud lima jari yang pemain-pemain Kedah maksudkan? Ada maksud mendalam ni..” katanya

Kes tunggakan gaji ini turut mencetuskan kebimbangan dikalangan peminat berikutan Kedah berisiko untuk kehilangan pemain selepas laporan seorang pemain memberi bayangan akan menamatkan kontraknya bersama Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) pada minggu lalu.