Menang Tanpa Bertanding ?

ALOR SETAR: Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor dijangka dipilih sebagai Presiden Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) yang baharu pada Kongres Luar Biasa badan induk bola sepak berkenaan, di sini, esok.

Sumber memberitahu, ini selepas tiada pencalonan lain diterima bagi jawatan itu sehingga hari ini sekali gus menyaksikan Sanusi bakal menang tanpa bertanding.

Jawatan naib presiden turut dijangka menang tanpa bertanding, apabila hanya nama legenda bola sepak skuad Hijau Kuning, Radhi Mat Din dicalonkan.

Difahamkan pada awalnya terdapat empat calon disenaraikan bagi pemilihan jawatan naib presiden, namun dua daripadanya menarik diri lebih awal, sebelum disusuli seorang lagi selepas itu pada saat akhir.

Jawatan Presiden KFA sebelum ini disandang oleh Datuk Seri Mukhriz Mahathir manakala Anas Hafiz Mustaffa sebagai naib presiden.

Selain presiden dan naib presiden, jawatan Setiausaha Kehormat KFA juga kosong susulan pengunduran penyandangnya, Asmirul Anuar Aris. Penyandang baharu dijangka diumumkan oleh presiden baharu esok.

Mukhriz yang juga bekas Menteri Besar selain Anas dan Asmirul yang juga bekas EXCO Belia dan Sukan negeri, mengumumkan peletakan jawatan berikutan berlakunya peralihan kepimpinan kerajaan negeri.

Kongres Luar Biasa KFA bakal dihadiri oleh 36 ahli gabungan. Mereka yang bakal dipilih akan menggalas tanggungjawab mengemudi hala tuju persatuan yang ditubuhkan sejak 1924 selain membawa harapan seluruh penyokong tegar skuad Lang Merah.

sumber : BH

Jawatan Timbalan Presiden KFA ketika ini disandang oleh Datuk Abdul Rahman Abdullah manakala dua lagi jawatan naib presiden masing-masing dipegang Khamal Idris Ali dan Yusuri Yussof. Mereka memenangi jawatan itu pada pemilihan Jawatankuasa Eksekutif KFA 2018-2022.