Melaka United akan menggantikan Zai­nal Abidin ?

PETALING JAYA: Melaka United menafikan sudah mengadakan perbinca­ngan bersama beberapa jurulatih termasuk bekas pengendali Felda United, Nidzam Jamil dan Mehmet Durakovic (Perak) bagi menggantikan Zai­nal Abidin Hassan dalam tempoh terdekat ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Melaka United, Datuk Mohd. Saiful Mat Sapri berkata, tiada sebarang rundingan dibuat bersama mana-mana jurulatih buat masa sekarang sebaliknya masih menaruh kepercayaan terhadap Zainal.

Beliau bagaimanapun, mengakui terdapat lebih 10 permohonan daripada jurulatih luar yang menawarkan kemahiran mereka bagi membim­bing Melaka.

“Kami tidak mengadakan rundingan dengan mana-mana jurulatih kerana kami mahu barisan kejurulatihan sedia ada mengekalkan momentum kemenangan.

“Namun memang ada jurulatih luar hantar resume, mereka menyatakan ada pendekatan tersendiri untuk membantu Melaka tetapi belum ada sebarang tindakan susulan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Difahamkan, Nidzam menjadi calon utama untuk mengisi jawatan itu kerana gaji yang lebih rendah berbanding Meh­met yang jauh berpe­ngalaman tapi memerlukan Melaka mengeluarkan belanja besar.

Kemenangan tipis 1-0 Melaka United ke atas Perak dalam aksi Liga Super, Sabtu lalu dilihat menjadi penyelamat sementara buat Zainal yang dilihat begitu terdesak untuk mengubah nasib pasukan itu selepas beberapa aksi hambar.

sumber:Utusan