Melaka United dan JDT Bakal Mengadakan Kerjasama

Melaka United dan JDT bakal mengadakan kerjasama yang lebih erat pada masa akan datang.

Presiden Persatuan Melaka, Datuk Sulaiman Md Ali berkata pertemuan rasmi dengan JDT diadakan bagi membincangkan bentuk kerjasama dalam program akar umbi bola sepak antara JDT dan Melaka United.

Ini berkemungkinan berdasarkan pencapaian dan kejayaan juara bertahan Liga Super itu termasuk dari segi pembangunan infrastruktur dan akar umbi.

“Pandangan serta idea bernas Tunku Ismail sangat diperlukan dalam membantu memperkasa lagi kemajuan bola sepak di negara ini dan negeri Melaka khususnya termasuk pengukuhan Persatuan Bola Sepak Melaka United (MUSA),” kata Sulaiman dalam satu kenyataan di laman Facebook rasminya.

Pertemuan antara Sulaiman dan Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim diadakan di The Westin Desaru Coast Resort, Johor.

Menurut kenyataan Melaka United, TMJ turut memberikan idea dan pandangan baginda berkaitan pembangunan bolasepak Melaka.

“Tunku Ismail memberi pandangan untuk menaiktaraf fasiliti padang Wisma MUSA selain turut memberikan idea-idea bernas bagi mengukuhkan MUSA ke arah bolasepak Melaka yang lebih berdaya saing,” katanya.