‘Matt, tolong beritahu Akhyar’

KUALA LUMPUR: Pemain Pahang, Mohammadou Sumareh akhirnya ‘memulangkan paku buah keras’ kepada bekas rakan sepasukannya, Matt Davies selepas pemain Johor Darul Ta’zim (JDT), Akhyar Rashid menayangkan jentera mewahnya di laman Instagramnya.

Sebelum ini, Davies meminta Sumareh supaya tidak ‘meniru’ Safawi Rasid apabila pemain naturalisasi itu memperagakan jentera mewahnya, Mercedes A-Class Hatchback hanya beberapa hari selepas Safawi berkongsi gambar Porsche Cayman 987.

Ketika itu, Sumareh hanya tertawa sambil berkata ‘Safawi adalah idola saya, saya hanya mahu menjadi seperti dia.’

Namun pada hantaran Akhyar kali ini, tiba giliran Sumareh pula mengusik Matt apabila berkata ‘Matt tolong beritahu Akhyar supaya tidak cuba menjadi seperti…?’ yang disertakan dengan emoji ketawa.

Matt yang juga bek kanan JDT itu membalas ‘Sumareh tolong jangan benci adik saya, Akhyar’ yang kemudiannya dibalas oleh Sumareh dengan komen ‘hahaha’.

Terdahulu, Akhyar yang juga pemain sayap kebangsaan bergambar bersama kereta mewah dipercayai Mercedes C-300 disertakan dengan gaya berbual menerusi telefon bimbit.

sumber: BH

Dalam hantaran sama, Akhyar dipercayai berkongsi mengenai koleksi pakaian terbaharunya.