Matt Davies intai peluang beraksi di Thailand atau Jepun

Pertahanan kanan kebangsaan, Matthew Davies sedang mengintai peluang untuk beraksi di saingan liga lain setelah tamat kontraknya bersama Pahang pada penghujung musim 2020, tahun depan.

Antara tiga negara yang menjadi sasaran utamanya adalah liga jiran tetangga, Thailand serta dua buah liga terbaik di asia iaitu Jepun dan Republik Korea. 

Selain daripada tahap kompetitif yang lebih tinggi, ketiga-tiga buah negara itu menjadi pilihan Matt Davies kerana mereka membuka slot pemain import dalam kalangan pemain dari asia tenggara.

“Saya fikir, saya mahu kekal di Asia, ia adalah tempat yang baik untuk meneruskan kerjaya. 

“Saya belum mempunyai sebarang komitmen. Saya tidak perlu memikirkan tentang anak-anak ataupun perkara sebegitu dalam hidup saya ketika ini. Jadi, saya rasa ia adalah masa yang sesuai untuk saya mencapai tahap tersebut kerana terdapat banyak peluang untuk (pemain) rantau Asia Tenggara dibuka kini.

“Jadi, saya perlu mula mencari di negara seperti di Thailand atau Jepun dan Korea Selatan, yang mungkin sangat tinggi keinginan itu, tetapi mereka sudah mula membuka slot untuk pemain-pemain dari Asia Tenggara,” ulas Matt Davies seperti dipetik daripada The World Game.

Matt Davies merupakan pemain kelahiran Perth, Australia namun mempunyai pertalian darah Malaysia menerusi ibunya yang berasal dari Sabah. Perkara itu membolehkan Matt mendapatkan passport Malaysia sekaligus memberikannya peluang beraksi bersama skuad Harimau Malaya.

Bercakap mengenai skuad kebangsaan yang sedang mengharungi pusingan 2 kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023, Matt optimis Harimau Malaya mampu meraih slot automatik ke saingan Piala Asia serta melangkah ke pusingan 3.

Ketika ini, Malaysia menduduki tangga ke-2 Kumpulan G peringkat kelayakan dengan mengumpul 9 mata hasil daripada kemenangan ke atas Indonesia (home & away) dan Thailand.

“Matlamat kami adalah untuk layak ke (saingan) Piala Asia, atau menamatkan saingan peringkat kumpulan setinggi yang boleh. Cita-cita tinggi (saya) untuk mara ke Piala Dunia, tetapi sasaran pasukan adalah memastikan kami mara ke peringkat seterusnya.” katanya.

Tambahnya lagi, sasaran mara ke saingan Piala Asia merupakan sesuatu yang realistik bagi anak-anak buah Tan Cheng Hoe dan pada masa yang sama beliau menyembunyikan cita-citanya untuk mara ke Piala Dunia walaupun tampak sukar.

Beliau yang merupakan kapten Pahang turut menyatakan kebanggaannya dapat mewakili skuad Harimau Malaya. Lebih-lebih lagi apabila beraksi di laman sendiri sambil diberikan sokongan penuh oleh penyokong yang mencecah 80,000 orang di Stadium Nasional, Bukit Jalil.