Dedah Kepada Media Australia, Akan Tinggalkan Pahang

Sebuah media bola sepak di Australia telah menerbitkan temuramah bersama kapten Pahang, Matt Davies mengenai kehidupan dan pengalamannya sejak men!nggalkan bumi Australia ke Malaysia hampir lima tahun yang lalu.

Berusia 24 tahun dan telah memimpin pasukan yang berpengaruh di Liga Malaysia, pastinya pencapaian terbaik sepanjang kariernya dan kini, Matt Davies memikirkan mahu ‘melangkah’ lebih jauh.

Masih mahu berada di rantau Asia yang dirasakan sesuai dengan dirinya, pemain yang memiliki 29 kaps bersama Malaysia ini mahu mencuba nasib di Thailand, Jepun dan mungkin Korea Selatan.

Kontraknya bersama Pahang akan berakhir pada penghujung musim ini dan sedang mencari pilihan lain untuk musim 2021.

“Pasukan ini sangat baik kepada saya dan ini merupakan musim keenam saya bersama Pahang. Saya benar-benar menikmatinya,” ujar pemain yang pernah menerima anugerah Pemain Muda Terbaik di Anugerah Bolasepak Malaysia tahun 2016.

“Saya fikir, saya mahu kekal di Asia, ia adalah tempat yang baik untuk meneruskan karier. Saya belum ada apa-apa komitmen.

“Saya tidak perlu memikirkan tentang anak-anak ataupun perkara sebegitu dalam hidup saya ketika ini. Jadi, saya rasa ia adalah masa yang sesuai untuk saya mencapai tahap tersebut kerana terdapat banyak peluang untuk [pemain] rantau Asia Tenggara dibuka kini.

“Jadi, saya perlu mula mencari di negara seperti di Thailand atau Jepun dan Korea Selatan, yang mungkin sangat tinggi keinginan itu, tetapi mereka sudah mula membuka slot untuk pemain-pemain dari Asia Tenggara [di liga mereka],” ulas Matt Davies.

Bercakap pula mengenai skuad kebangsaan, pemain berdarah kacukan Malaysia-Australia ini menjelaskan yang dirinya bangga mewakili Harimau Malaya dan sentiasa teruja untuk beraksi bersama skuad kebangsaan terutamanya di laman sendiri.

sumber: semuanyabola

“Kami dapat beraksi di hadapan penyokong yang sangat ramai – hampir 70,000 hingga 80,000 penyokong berada di belakang kami. Dan bagi saya, ia adalah satu pengalaman yang sangat hebat.

“Itu adalah salah satu yang membuatkan saya suka untuk menjadi sebahagian daripadanya,” tambahnya yang merupakan salah seorang pemain kacukan Malaysia-Australia selain Brendan Gan.

Matt Davies juga meletakkan sasaran untuk Malaysia layak ke Piala Asia 2023, disamping turut mengintai untuk melepasi pusingan kelayakan Piala Dunia yang seterusnya iaitu pusingan ketiga.