Mat Don Akan Beraksi Menentang UAE ?

Selepas menjadi warganegara Malaysia secara rasmi, Liridon Krasniqi mempunyai peluang untuk beraksi menentang UAE dalam kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023 pada 26 Mac nanti.

Setiausaha Agung FAM Stuart Ramalingam berkata Liridon layak untuk didaftarkan sebagai pemain skuad kebangsaan memandangkan tarikh akhir pendaftaran pemain adalah pada 20 Mac depan.

“Setelah kita buat penyelidikan dan perbincangan, kita rasa tiada halangan untuk Liridon mewakili Malaysia dalam masa terdekat,” katanya kepada Bernama.

“Berdasarkan pengiraan tempoh lima tahun, kita yakin beliau boleh didaftarkan dalam pasukan kebangsaan, sebelum perlawanan menentang UAE.

“Kita hanya perlu tunggu pengesahan daripada FIFA dalam seminggu dua ini, kerana mereka mungkin mempunyai kaedah pengiraan tertentu. Sekiranya semua dokumentasi dan ketetapan pengiraan kita buat itu betul, Liridon akan bersama pasukan kebangsaan.

Mengikut perkiraan, Liridon akan melengkapkan tempoh lima tahun beraksi di Malaysia pada 25 Mac depan, tempoh yang ditetapkan oleh FIFA untuk pemain naturalisasi layak mewakili negara.

Malaysia pula akan bertemu UAE sehari kemudian.

Liridon akan menjadi pemain naturalisasi kedua negara selepas Mohamadou Sumareh.

Dalam pada itu, Stuart memberitahu bahawa Liridon sudah tidak sabar untuk mewakili negara.

“Dia tanya saya bila panggilan ke skuad kebangsaan, itu adalah soalan pertama bila jumpa saya hari ini dan itu menunjukkan keghairahan beliau untuk menyarung jersi pasukan kebangsaan,” jelas Stuart.

Bagaimanapun, status Guilherme de Paula masih lagi dalam proses permohonan.

“Permohonan De Paula memerlukan sedikit masa lagi kerana ada beberapa perkara lagi untuk diselesaikan, bagi memastikan kita memenuhi segala ketetapan FIFA.

“Saya harap ia dapat diselesaikan dalam satu hingga dua minggu lagi, bagi memastikan De Paula dapat menyarungi jersi kebangsaan,” kata Stuart.