Masih Menunggu Yang Tidak Kunjung Tiba

Barisan pemain dan pegawai pasukan Kedah masih menunggu gaji yang mereka tidak kunjung tiba, walaupun tinggal seminggu sahaja lagi untuk menyambut hari raya Aidilfitri.

Sebelum ini, Setiausaha Kehormat KFA, Asmirul Anuar Aris berjanji akan melunaskan semua gaji tunggakan bulan Februari, Mac dan April, namun sehingga kini mereka masih belum menerima sesen pun bayaran daripada majikan.

Ini diburukkan lagi dengan krisis politik yang tiba-tiba berlaku ketika ini menyebabkan kerajaan negeri akan diterajui kepimpinan baharu dan Asmirul tidak akan bertanggungjawab lagi terhadap soal kebajikan pemain.

Jurulatih Aidil Sharin, hanya mengharapkan kepimpinan baharu tidak mengabaikan kebajikan pasukan.

“Saya harap perkara ini tidak menjejaskan moral pasukan dan paling penting, kami mengharapkan sesiapa yang akan menjaga skuad bakal memberi sokongan 100 peratus,” katanya kepada Astro Arena.

Zaquan Adha pula masih bersikap optimis bahawa pihak pengurusan akan melunaskan gaji mereka sebelum raya.

“Saya yakin pihak kebajikan KFA akan lakukan yang terbaik serta membuat keputusan dengan cara terbaik. Apa yang kami harap, menjelang raya akan ada sesuatu yang menggembirakan.”

Peny3rang import Kedah, Kpah Sherman mengakui bimbang dengan masalah kewangan yang dihadapi pasukannya ketika ini dan ia memberi kesan kepada kehidupannya.

“Tiga bulan sememangnya satu situasi yang sukar. Semua harus faham situasi tetapi kami mempunyai keluarga dan memerlukan wang.

“Apa yang boleh kami lakukan adalah berdoa dan mengharapkan seseorang hadir untuk menyelesaikan situasi ini.”