Markah penuh buat Sumareh

KUALA LUMPUR: Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam memberikan markah penuh kepada pemain naturalisasi pertama negara, Mohamadou Sumareh sepanjang bersama Harimau Malaya.

Penarafan atau ‘rating 10/10’ diberikan Stuart kepada pemain berusia 25 tahun itu berdasarkan beberapa faktor termasuk prestasi, semangat dan sikap sama ada di dalam atau di luar padang.

Justeru, beliau menjelaskan Sumareh patut dijadikan sebagai penanda aras untuk pemain naturalisasi seterusnya yang sudah pasti memikul harapan tinggi FAM dan seluruh penyokong.

“Sumbangan Sumareh bukan semata-mata di atas padang, tapi di bilik persalinan, sikap bersama pasukan, hubungan baik dengan semua pemain dan dia tidak berlagak bintang atau pemain import, dia macam budak kita (pemain tempatan) juga.

“Dia pun tinggal di Malaysia sudah berbelas tahun dan negara ini macam rumah dia. Jadi kita boleh lihat bila kalah dia menang!s (s3dih), menang dia menang!s (gembira) dan bila jaringkan gol dia teruja.

“Ketika Piala AFF 2018 dia banyak meletakkan tekanan dalam diri sendiri kerana baru dapat status naturalisasi dan dia nak tunjuk yang dia berhak berada dalam pasukan kebangsaan. Tapi sekarang prestasi dia sudah semakin baik,” katanya ketika ditemui di Wisma FAM, semalam.

Ketika ini, Liridon Krasniqi dan Guilherme De Paula dijangka akan menjadi pemain naturalisasi seterusnya buat Harimau Malaya dengan FAM masih menunggu kelulusan daripada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

Selain itu, Stuart menegaskan perkara paling utama diperlukan pemain naturalisasi adalah mengikut sistem skuad kebangsaan yang mana semangat juang semua pemain dalam skuad itu ketika ini berada pada tahap terbaik.

“Kita ada Jawatankuasa Program Naturalisasi yang membuat penilaian dari setiap sudut dalam membuat pemilihan terhadap pemain naturalisasi.

“Kita rasa Liridon serta De Paula mempunyai semangat dan ikhlas beraksi bersama Harimau Malaya, bukan semata-mata nak pasport,” katanya.