Mario ikut jejak langkah bapa

Apabila Muhammad Firdaus membuat keputusan untuk memulakan karier dalam bolasepak, beliau sedar akan ada pihak yang sentiasa mengaitkan dirinya dan membuat perbandingan dengan bapanya, Muhamad Kaironisam Sahabuddin.

Kaironisam merupakan salah seorang pemain pertahanan terkemuka negara. Beliau mula dikenali ramai apabila beraksi dengan Perlis dan membantu pasukan Singa Utara itu memenangi Piala Malaysia musim 2004 dan Liga Super pada musim 2005.

Prestasi beliau menarik perhatian jurulatih negara, Allan Harris yang menggandingkannya dengan Norhafiz Zamani Misbah di barisan pertahanan dan beraksi dalam kejohanan-kejohanan besar seperti Piala Tiger 2004, Piala AFF 2007 dan Piala AFF 2008 serta dilantik sebagai kapten pasukan pada Piala Asia 2007.

Namun, bagi Firdaus yang juga dikenali dengan panggilan mesra ‘Mario’ dalam kalangan rakan sepasukannya enggan dibanding-bandingkan dengan bapanya.

Beliau sekadar mahu mengikut jejak langkah bapanya untuk beraksi dengan skuad kebangsaan dan mengharumkan nama negara.

Malah, pemain tengah berusia 17 tahun itu menganggap beliau masih perlu bekerja keras dan membuktikan keupayaan supaya terpilih dalam skuad 23 pemain yang akan beraksi dalam Kejohanan AFC B-19 di Uzbekistan pada Oktober ini.

“Sudah banyak peningkatan dipamerkan kesemua pemain apabila kem latihan memasuki fasa kedua dan semua pemain sudah memahami peranan masing-masing,” katanya kepada Bernama.

“Bagi saya, kita perlu terus mempertingkatkan intensiti latihan, selain mengadakan lebih banyak perlawanan persahabatan sebab kami perlu tingkatkan kecergasan ke tahap terbaik.”

Sesi latihan pusat skuad B-19 kebangsaan yang bermula sejak 3 Ogos, akan berakhir pada 30 Ogos ini.

Ia disusuli latihan Fasa 3 pada September sebelum senarai akhir diumumkan oleh jurulatih Brad Maloney.

Malaysia yang diundi dalam Kumpulan D, memulakan kempen kejohanan menentang Tajikistan pada 16 Okt; dan Qatar (19 Okt), sebelum menamatkan aksi pusingan awal berdepan Yaman pada 22 Okt di Stadium AGMK, Olmalik.