Mario Gomez bawa bekas rakan di JDT

Bekas ketua jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT), Mario Gomez kelmarin diumumkan sebagai pengendali Arema FC bagi mengharungi musim baharu Liga 1 Indonesia 2020 dengan kontrak selama setahun.

Beliau yang pernah membimbing pasukan Persib Bandung sebelum ini mengambil keputusan untuk letak jawatan sebagai jurulatih Borneo FC setelah sa!ngan musim 2019 melabuhkan tirainya.

Bagi melengkapkan barisan kejurulatihannya, Gomez turut membawa masuk bekas jurulatih fizikal JDT, Marcos Gonzalez yang pernah membantu meningkatkan tahap kecergasan pemain skuad Harimau Selatan pada musim 2016.

Pengurus Arema FC, Ruddy Widodo berharap pengalaman yang dimiliki oleh pengendali dari Argentina itu dapat membantu meraih pelbagai kejayaan pada musim baharu nanti.

“Coach Mario Gomez berasal dari Argentina, saya fikir sesuai dengan keinginan kami yang mahu gaya permainan Amerika Latin untuk musim 2020.

“Dia sudah dua musim menjadi jurulatih di Indonesia, jadi tidak perlu meragu tahap keupayaannya,” katanya.

Bagaimanapun, Gomez akan ditemani oleh tiga pembantu jurulatih dari Indonesia iaitu Charis Yulianto yang turut bersamanya musim lalu ketika di Borneo FC, Kuncoro dan Singgih Pitono.

Berikut susunan barisan jurulatih Arema FC

Ketua jurulatih: Mario Gomez
Pembantu jurulatih: Charis Yulianto, Kuncoro, dan Singgih Pitono
Jurulatih penjaga gol: Felipe Martins Goncalves Americo
Jurulatih fizikal: Marcos Gonzalez

Sumber : vocketfc