Mario Gomez Bakal Kembali ?

Pengendali dari Argentina, Mario Gomez kini bukan lagi ketua jurulatih Arema FC apabila beliau membuat keputusan untuk meninggalkan kelab Indonesia itu walaupun saingan Liga 1 bakal bersambung bulan depan.

Pengurus Arema FC, Ruddy Widodo mengesahkan perkembangan itu dan menjelaskan Gomez telah memohon untuk berundur melalui satu panggilan telefon pada minggu lalu.

Difahamkan Gomez yang pernah membantu JDT menjuarai Liga Super dan Piala AFC pada musim 2015 tidak mencapai kata sepakat dengan pihak pengurusan Arema FC mengenai pemotongan gaji sekitar 50 peratus dari nilai sebenar.

“Gomez berkata dia berterima kasih dan menjelaskan tidak akan teruskan tugasnya dengan situasi ketika ini.

“Situasi yang dimaksudkan ialah berkaitan dengan gaji jurulatih yang dikurangkan berdasarkan surat PSSI SKEP 48 dan 53,” kata Ruddy dipetik dalam kompas.com.

Tanda-tanda pemergian jurulatih yang berusia 63 tahun itu telah mula dikesan sejak 31 Julai lalu apabila beliau memutuskan untuk keluar daripada group WhatApps barisan kejurulatihan Arema FC.

Ketiadaan Gomez juga menyebabkan Arema FC kini berpotensi kehilangan jurulatih kecergasan, Marcos Gonzales dan penyeran import, Jonathan Bauman kerana kedua-duanya berada dibawah ejen yang sama.

Gomez sempat mengharungi 3 perlawanan Liga 1 musim 2020 dan membantu Arema FC raih satu kemenangan sebelum ditunda susulan penularan wabak pandemik COVID-19.

Sebelum ini, beliau mengakui telah dihubungi oleh wakil dari Liga Malaysia yang menunjukkan tanda minat bagi mendapatkan khidmatnya. Bagaimanapun, sehingga kini perpindahan itu tidak menjadi kenyataan.

Beliau juga mengambil pendekatan kunci mulut mengenai identiti pasukan tersebut tetapi tidak menolak kemungkinan akan kembali semula ke Liga Malaysia.

Sumber : https://www.vocketfc.com/mario-gomez-tinggalkan-arema-fc-kemungkinan-kembali-semula-ke-liga-malaysia/