Maloney Panggil 2 Pemain ‘Luar Negara’ Menyertai Skuad Bawah 19

KUALA LUMPUR: Dua pemain muda berpangkalan di luar negara mendapat ‘pasport awal’ apabila dipanggil menyertai kem latihan pusat skuad Bawah 19 tahun (B-19) sebagai persiapan menghadapi Kejuaraan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) di Uzbekistan, Oktober ini.

Dua pemain terbabit adalah muka baharu yang dipanggil pengendali, Brad Maloney iaitu Muhammad Adam Nadzmi Zamri yang beraksi bersama Akademi Bolasepak BISP Cruzeiro dan pemain Akademi Bolasepak St Loius, Wan Ahmad Kuzri Wan Ahmad Kamal.

Pada panggilan kali ini, seramai 35 pemain dipanggil yang menyaksikan 14 daripadanya membarisi skuad 23 pemain ketika saingan kelayakan di Phnom Penh manakala selebihnya pemain yang pernah dipanggil pada kem latihan pusat tahun lalu.

Sementara itu, beberapa tonggak dalam saingan kelayakan tahun lalu tidak dipanggil untuk kem latihan pertama ini seperti penjaga gol, Firdaus Irman Mohd Fadhil, dan Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman; Azrin Afiq Rusmini, Harith Haiqal Adam Afkar, Mukhairi Ajmal Mahadi, Luqman Hakim Shamsudin serta Ahmad Zikri Mohd Khalili.

Bagaimanapun, mereka dijangka menyertai pasukan pada kem latihan pusat yang berikutnya selepas ini dan kem latihan ini akan berlangsung selama tiga minggu bermula Isnin ini sehingga 26 Julai.

Sebagai rekod, skuad negara menempatkan diri dalam kalangan 16 pasukan terbaik ke pusingan akhir apabila meraih slot selaku juara saingan kelayakan bagi Kumpulan G dengan rekod meraih kemenangan bersih dalam empat perlawanan.

Pada pusingan akhir itu, Malaysia diundi dalam Kumpulan D bersama juara edisi 2014, Qatar, Tajikistan dan Yemen dan empat pasukan terbaik akan layak secara automatik ke Piala Dunia Bawah 20 tahun (B-20) di Indonesia, tahun hadapan.

Edisi terdahulu di Indonesia menyaksikan Malaysia yang ketika itu dibimbing Bojan Hodak gagal mara ke suku akhir apabila menamatkan saingan di tangga tercorot Kumpulan D selepas tewas di tangan Arab Saudi dan China serta seri dengan Tajikistan.