Malaysia Lawan Tiga Juara Dunia

TIGA bekas juara Piala Dunia iaitu Brazil, Jerman dan England adalah tiga pasukan yang mahu ditemui oleh Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin sekiranya skuad Malaysia layak ke temasya terbesar dunia itu.

Jelas Hamidin, dia mahu melihat anak buah Tan Cheng Hoe beradu tenaga atau lebih tepat diletakkan dalam sekumpulan yang sama dengan tiga pasukan g3rgasi dunia itu.

Untuk rekod, pasukan Brazil atau lebih popular dikenali dengan skuad Samba pernah memenangi trofi teragung itu sebanyak lima kali pada 1958, 1962, 1970, 1994 dan 2002, manakala Jerman empat kali 1954, 1974, 1990 dan 2014 sementara England menjulangnya pada 1966.

Saya nak dengan Brazil, Jerman dan England.. jadi empat pasukan dengan Malaysia, katanya ketika menjawab persoalan yang dilontarkan pengguna media sosial menerusi program Anda Tanya, Presiden Jawab yang disiarkan di saluran YouTube badan induk itu, Isnin lalu.

Kempen skuad negara sepanjang mengharungi pusingan Kelayakan Piala Dunia sejak menyertainya pada 1974 sering berakhir dengan kegagalan.

Paling cemerlang adalah pada Kelayakan Piala Dunia Perancis 1998 di mana skuad kebangsaan berjaya merakam tiga kemenangan daripada enam aksi manakala kempen paling buruk ialah ketika 2006 dengan pasukan negara tewas dalam semua enam aksi kelayakan Piala Dunia Jerman.

Bagaimanapun, menurut Hamidin beliau mahu skuad kendalian Cheng Hoe layak terlebih dahulu ke Piala Asia 2023 yang dilihat lebih realistik dengan kemampuan pasukan buat masa ini.

Malah, kedudukan pasukan negara ketika ini dalam Kumpulan G Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 juga belum selamat di mana Malaysia ketika ini menghuni tangga kedua dengan sembilan mata daripada lima aksi setakat ini.

Pertama saya rasa dah tentu sebelum kita nak pergi ke Piala Dunia, kita perlu ke Piala Asia pada tahun 2023.

Tetapi perlu diingat walaupun kita di tangga kedua di dalam kumpulan ini bukan senang nak layak. Kita berusaha ke tahap itu dulu (Piala Asia).

Kalau kita sampai pun ke tahap 12 terbaik atau 24 terbaik Asia pun, saya rasa buat ketika ini dah satu kejayaan. Memang untuk FAM, suatu hari nanti mengimpikan untuk layak ke Piala Dunia, katanya.

Selepas ini, skuad negara dijadual berdepan Emiriah Arab Bersatu (UAE) di Dubai pada 8 Oktober diikuti Vietnam (13 Oktober) di Stadium Nasional Bukit Jalil sebelum mengakhiri kempen kelayakan men3ntang Thailand 17 November di Bangkok.