Malaysia Dan Indonesia Tidak Setanding Vietnam?

Seperti yang kita tahu, skuad Harimau Malaya bakal bertemu Vietnam untuk aksi Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 13 Oktober 2020.

Malaysia kini berada di tangga kedua dalam kumpulan G dengan 9 mata selepas mencatat 3 kemenangan ke atas Indonesia dan Thailand. Manakala Vietnam masih kekal sebagai pendahulu kumpulan dengan rekod tanpa kalah dalam 5 perlawanan yang diharungi setakat ini.

Kedua-dua pasukan ini berpeluang menempah tiket automatik ke Piala Asia 2023 jika tidak tercicir sebarang mata dalam baki 3 perlawanan yang akan datang.

Bagaimanapun, pemain sayap Vietnam, Phan Van Duc sempat memperlekehkan kemampuan skuad kendalian Tan Cheng Hoe dan menyifatkan kualiti Malaysia sama seperti Indonesia yang tidak mampu mengalahkan pasukannya.

“Malaysia dan Indonesia sama-sama tenggelam dari segi kualiti berbanding Vietnam ketika ini. Kami telah mengalahkan mereka beberapa kali di bawah kendalian Park Hang Seo,” kata Van Duc dipetik daripada portal bola sepak Bongdaplus.

“Sebenarnya, dalam baki 3 perlawanan, yang paling sukar adalah yang terakhir (lawan UAE). Ini kerana UAE mempunyai kualiti yang lebih tinggi dan akan beraksi di halaman sendiri.

“Namun, Vietnam juga dalam keadaan terbaik setelah mengalahkan lawan ini pada perlawanan pertama di My Dinh,” tambahnya.

Berdasarkan rekod, sejak dilatih oleh Park Hang-Seo, Vietnam tidak pernah kalah di Stadium MyDinh dan mencatat 3 kemenangan serta 1 keputusan seri ke atas Malaysia.

Skuad Vietnam akan mengadakan latihan pusat pada pertengahan bulan Oktober yang mana ia merupakan sesi latihan pertama mereka untuk tahun 2020 setelah ditangguhkan beberapa kali susulan penularan wabak COVID-19.

Penangguhan itu memberikan peluang kepada Phan Van Duc untuk pulih daripada kecederaan yang dialami pada tahun lepas dan berharap dapat menyertai pasukan kebangsaan Vietnam.

“Walaupun saya tak boleh bermain, Park Hang-Seo masih menghubungi saya untuk memberi semangat agar saya pulih dengan cepat. Melihat rakan sepasukan berlatih dan memasuki padang, saya rasa tidak sabar lagi.

“Sekarang saya telah pulih, saya dapat bermain dengan normal dan berharap dapat dipanggil kembali ke pasukan tidak lama lagi,” jelasnya.