“Mahu Atau Tidak, Kita Semua Harus Terima Keputusan”

Pemain Liga Malaysia (Liga M) mengakui sudah bersedia untuk beraksi mengikut normal baharu sekiranya saingan kembali bersambung semula pada awal September ini.

Kapten Perak, Shahrul Mohd Saad berharap aktiviti bola sepak termasuk latihan pasukan dapat bermula lebih awal bagi memastikan pemain mendapat kembali kecergasan di tahap terbaik sebelum saingan Liga M kembali disambung.

Dia yang juga pemain kebangsaan percaya Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) akan menyediakan prosedur operasi standard (SOP) yang baik ketika memohon kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk membenarkan liga disambung semula selepas ditangguhkan sejak 16 Mac lalu akibat pandemik COVID-19.

“Mahu atau tidak, kita semua harus terima keputusan MKN yang ketika ini masih melarang segala aktiviti bola sepak. Semua ini adalah demi kebaikan semua pihak.

“Tetapi, saya harap MFL akan bersedia dengan SOP yang sepatutnya agar kita dapat buat persiapan segera. Seandainya perlu perubahan, kita semua sudah bersedia dengan perkara itu.

“Saya juga percaya FAM dan MFL akan terus bekerja keras bagi memastikan kami dapat beraksi semula kerana sekarang ini situasi sudah berubah dan apa sahaja boleh berlaku.

“Saya akan teruskan latihan macam biasa secara bersendirian walaupun agak terasa lain sebenarnya dan jurulatih (Mehmet Durakovic) akan pantau perkembangan semua pemain seminggu sekali,” katanya.

Sementara itu, tonggak tengah Terengganu FC (TFC), Nasir Basharuddin pula menyifatkan pemain juga akan berusaha untuk membiasakan diri dengan permainan dalam normal baharu selepas ini.

“Kalau nak ikutkan, memang bukan senang untuk kita membiasakan diri dengan keadaan sekarang tambahan pula dengan pelbagai SOP yang ada.

“Tetapi, kalau tiada SOP, mustahil untuk Liga M kembali bersambung. Saya sendiri sedang dalam proses untuk sentiasa bersedia dengan peraturan baharu selepas ini agar tidak kekok apabila sudah kembali ke padang.

“Kita semua kena menghadapi situasi baharu ini dengan lebih positif dan saya percaya MFL akan melakukan yang terbaik untuk kita kembali beraksi dalam Liga M”, katanya.