Lyon malukan Ronaldo, Juventus

JURULATIH Lyon, Rudi Garcia memuji barisan pemainnya selepas menyingk!rkan Juventus serta bintang utama mereka, Cristiano Ronaldo untuk melangkah ke suku akhir Liga Juara-Juara.

Gol awal kapten pasukan Memphis Depay menerusi sepakan penalti mengesahkan kemaraan Lyon ke suku akhir menerusi gol di tempat lawan meskipun tewas 1-2 di Turin selepas mencatat kemenangan 1-0 pada perlawanan pertama.

“Kami hadir bertemu lawan yang mempunyai kelebihan dalam pasukan mereka,” kata Garcia merujuk kepada pemenang lima kali Ballon d’Or, Ronaldo yang menjaringkan kedua-dua gol untuk Juve.

Lyon harus berterima kasih kepada Depay yang menyempurnakan sepakan penalti minit ke-12 sekali gus semakin memberi tekanan kepada Juve.

Perlu mencari tiga gol untuk melangkah ke suku akhir, Ronaldo melakukan yang terbaik bagi membantu juara Itali itu.

Dia menyamakan kedudukan menerusi sepakan penalti minit ke-43 sebelum menambah gol kedua minit ke-60.

Bagaimanapun Juve gagal beraksi dengan baik selepas itu dan Lyon mampu bertahan untuk mengesahkan pertemuan dengan Manchester City pada aksi suku akhir 15 Ogos ini.

“Saya rasa kami sudah melakukan yang terbaik pada separuh masa pertama. Malangnya lawan diberikan sepakan penalti yang menyaksikan mereka bangkit semula.

“Ini adalah kemenangan secara berpasukan. Kami mahu beraksi di suku akhir dan berjaya memenuhi sasaran itu,” kata Garcia.