Luqman ‘Tendang’ Greenwood Dan Haaland

Striker s3nsasi skuad Bawah 19 tahun (B-19), Luqman Hakim Shamsudin berpeluang menjadi anak Malaysia pertama mengungguli Anugerah Golden Boy anjuran Tuttosport apabila dilihat terus memperoleh undian paling banyak sekali gus mengatasi pemain terkenal lain.

Sehingga jam 4 petang hari ini, pemain yang berasal dari Kota Bharu Kelantan itu memperoleh 4,278 undian iaitu 17 peratus daripada 28,735 undian keseluruhan.

Jelas sekali, situasi berkenaan agak jauh meninggalkan pencabar terdekatnya pemain Sporting Lisbon, Eduardo Quaresma yang memperoleh lapan peratus atau 2,279 undian, diikuti pemain Dynamo Kiev Heorhiy Tsitaishvili 2,262 undi (8 peratus).

Sementara beberapa nama besar jauh ketinggalan antaranya striker Manchester United, Mason Greenwood memperoleh lima peratus, striker prolifik Borussia Dortmund, Erling Haaland (empat peratus) dan pertahanan Bayern Munich, Alphonse Davies (dua peratus).

Manakala striker muda Manchester City, Phil Foden serta pemain sayap Chelsea, Callum Hudson Odoi dengan masing-masing satu peratus.

Daripada 80 nama yang dicalonkan ini, jumlahnya akan disaring kepada 20 pemain yang dipilih menerusi undian awam sebelum 40 panel yang terdiri daripada wartawan pelbagai negara dan penerbitan akan memilih pemenang keseluruhan.

Bagaimanapun, nama Haaland disebut-sebut sebagai calon pemenang paling layak berdasarkan prestasi semasanya yang memukau selepas menyertai Borussia Dortmund pada Januari lalu.

Anugerah Golden Boy sebelum ini pernah dimenangi pemain Atletico Madrid, Joao Felix, Kylian Mbappe (2017), Raheem Sterling (2014), Lionel Messi (2005), Wayne Rooney (2004), dan Rafael van der Vaart (2003).

Undian masih lagi dibuka kepada orang awam dan jika mahu menyaksikan anak Malaysia pertama mendapat pengiktirafan terbabit, peminat bola sepak tanah air boleh berbuat demikian dengan melayari laman web sukan tuttosport.com.

Senarai nama akan dikurangkan secara berperingkat setiap bulan dengan pemain yang mempunyai undian tinggi akan terus kekal sehingga ke peringkat 20 terakhir.

Semua 20 pemain yang berjaya layak ke peringkat akhir akan diundi pula dengan nama pemenang akan diumumkan pada 20 Oktober nanti.