Luqman Hakim dapat nombor 9, ini pandangan Ong Kim Swee

Apabila Luqman Hakim Shamsudin tiba di Belgium dan mempamerkan jersi KV Kortrijk yang bernombor 9, ia mengejutkan segelintir peminat kerana nombor itu kebiasaannya diberikan kepada pemain penyerang utama sesebuah kelab, sekali gus ada yang menganggap ia sebagai satu bebanan buat pemain muda itu.

Namun, Ong Kim Swee yang pernah menjadi jurulatih pemain berusia 18 tahun itu ketika beraksi di Sukan SEA 2019 berpandangan Luqman mampu mengatasi segala tekanan yang dihadapinya.

“Dia sudah banyak kali bermain di luar negara bersama pasukan kebangsaan mengikut peringkat umur,” katanya kepada Sinar Harian.

“Kesungguhan dia sebelum ke Belgium juga kita nampak dan dia bersungguh-sungguh untuk mendapatkan tempat dalam kesebelasan utama KV Kortrijk.”

Ong juga berpandangan Luqman mempunyai bakat tersendiri, meskipun baru berusia 18 tahun.

“Kelebihan Luqman Hakim bukan satu atau dua tetapi banyak terutamanya dengan kelajuan, kepantasan dan teknik yang dimilikinya.

“Apabila KV Kortrijk mendapatkan Luqman bermakna kelab itu percaya dia mempunyai kelebihan tersendiri. Tetapi kita kena faham sekali lagi, jangan beri tekanan kepadanya.

“Dia perlu bermain dengan pasukan senior, ia peringkat yang berbeza berbanding yang dilaluinya sebelum ini. Beri dia masa dan kita hanya perlu berdoa dan menyokongnya.”

Pada masa sama, Ong percaya Luqman perlu diberi masa untuk menyesuaikan diri dengan suasana bolasepak Eropah.

“Luqman pergi ke Belgium untuk mendapatkan pengalaman dan dia perlu menyesuaikan diri dengan suasana di negara Eropah itu selain mendapatkan keserasian bersama pasukan.

“Saya percaya kalau dah lama di Belgium, Luqman mampu menyinar seperti mana yang kita harapkan. Beri dia masa untuk membuktikan sesuatu, dia baru berusia 18 tahun.”