“LUPAKAN ”

“LUPAKAN jurulatih luar, fokus jurulatih tempatan dan kuatkan pemain muda terlebih dulu sebelum memikirkan nama besar untuk melatih skuad bawah 22 tahun (B-22) negara.”

Itu pandangan bekas p3ny3rang kebangsaan, Safee Sali yang kini mewakili pasukan Petaling Jaya City FC (PJ City) berhubung cadangan supaya Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menggunakan khidmat jurulatih Asia terutama Jepun dan Korea Selatan bagi membimbing skuad muda negara.

Katanya, paling utama pemain B-22 ini harus dibentuk dengan baik termasuk dijaga kebajikan mereka sewajarnya.

“Ambillah siapapun jurulatih terbaik, kalau pemain tidak dijaga dan berada dalam satu tahap terbaik untuk beraksi, pasukan negara tidak akan berjaya.

“Ya, yang bermain adalah pemain dan ketua jurulatih mempunyai perancangan. Jika mereka tidak dijaga dengan baik, letaklah Jose Mourinho pun tidak akan berjaya membentuk pasukan terbaik,” katanya ketika ditemui pada program Minggu Kesedaran Kecergasan 2019 anjuran Hospital Kuala Lumpur di sini, semalam.

Dia mengulas laporan Arena Metro semalam bahawa Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) terbuka dalam mempertimbangkan calon ketua jurulatih dari Jepun mahupun Korea Selatan bagi melatih skuad B-22 negara seperti disaran bekas pemain kebangsaan, Serbegeth Singh.

Jawatan berkenaan kini kosong berikutan kontrak Datuk Ong Kim Swee sebagai pengendali B-22 yang tamat akhir bulan ini tidak disambung oleh FAM.

Mengulas lanjut, Safee, 35, berkata, pemain bola sepak perlu dibentuk dan dijaga dengan baik supaya terhindar masalah termasuk pengurusan, tempat tinggal, gaji dan tempat latihan tidak teratur.

“Jika semua masalah ini selesai bila-bila masa pasukan kita boleh menjadi antara pasukan terbaik dunia,” katanya.

Sementara itu, Tan Cheng Hoe ketika ditanya sama ada bersedia menggalas dua tugas iaitu membimbing skuad B-22 dan Harimau Malaya, menegaskan mahu fokus membimbing skuad senior seperti ditetapkan FAM.

Beliau juga enggan mengulas mengenai cadangan penggunaan jurulatih asing dari Jepun dan Asia bagi melatih skuad B-22.