Sahkan Tak Dapat Gunakan

SKUAD Red Giants tidak akan bermain di Stadium Shah Alam untuk baki saingan musim ini. Itu pengesahan pengurus pasukan Selangor, Mahfizul Rusydin Abdul Rashid apabila mengesahkan pihaknya sedang berusaha untuk mendapatkan stadium lain sebagai venue tetap skuad kendalian B Sathianathan.

Katanya, antara stadium yang sedang dipertimbangkan adalah Stadium Mini UiTM di Shah Alam dengan permohonan sudah dipanjangkan kepada Liga Bolasepak Malaysia (MFL).

“Saya boleh sahkan kita tak dapat gunakan Stadium Shah Alam sebab tidak melepasi piawaian yang dikehendaki oleh pihak MFL.

“Oleh itu kita sudah memohon Stadium Mini UiTM sebagai gelanggang ganti namun segala-galanya terpulang kepada pihak UiTM dan MFL untuk meluluskannya,” katanya ketika dihubungi semalam.

Saingan Liga Malaysia (Liga M) yang tertangguh sejak Mac lalu bakal disambung semula pada 26 Ogos ini dengan Selangor kini menduduki tangga kelima dengan pungutan lima mata selepas mengharungi empat aksi.

Jelas Mahfizul lagi, biarpun pasukan terpaksa berpindah ke venue lain, ia langsung tidak mengganggu fokus pasukan yang tetap bersemangat untuk memberi aksi terbaik dalam baki tujuh aksi nanti.

“Pemain amat komited dan bersungguh-sungguh dalam latihan dan saya fikir perubahan stadium ini tidak akan menjejaskan pasukan.

“Kita akan cuba aturkan latihan di venue baru itu selepas mendapat lampu hijau daripada MFL selain turut menjaga SOP (Prosedur Operasi Standard) untuk elak Covid-19,” katanya.

Sebelum ini, kerosakan bumbung di Stadium Shah Alam menyebabkan MFL memberi tempoh kepada pengurusan stadium untuk membaikinya demi keselamatan penyokong Merah Kuning.

Namun kekangan kos yang tinggi menyebabkan kerja-kerja itu tidak dapat dilaksanakan seperti mana yang ditetapkan oleh MFL.