Lupakan sahaja

KEPUTUSAN membatalkan terus saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini perlu dilakukan secara muktamad secepat mungkin tanpa perlu berselindung lebih lama lagi.

Itu ditegaskan bekas pemain pertahanan kebangsaan, Datuk Jamal Nasir Ismail yang berpendapat dalam keadaan negara masih lagi berlaku penularan wabak Covid-19 agak mustahil untuk aksi Liga M dapat diteruskan walaupun Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ditamatkan.

Katanya, arahan dikeluarkan pihak kerajaan dalam masa enam bulan hingga setahun selepas pandemik tidak boleh diadakan sebarang perhimpuanan dan majlis, ini bermakna perlawanan bola sepak tidak boleh dihadiri penonton.

“Secara peribadi saya berpendapat saingan Liga M musim ini perlu ditamatkan sahaja, walaupun pahit untuk diterima namun demi keselamatan dan kesihatan, kita perlu lupakan bola sepak tempatan musim ini.

“Bukan bola sepak sahaja yang terjejas tetapi turut membabitkan semua jenis sukan tempatan dan luar negara yang dibatalkan penganjurannya,” katanya, di sini hari ini.

Mengenai masa depan pemain, beliau berkata mahu tidak mahu pemain perlu menerima hakikat terhadap apa yang berlaku hari ini yang bukan sahaja membabitkan Malaysia tetapi turut dialami seluruh dunia.

Jamal Nasir berkata, dalam kes ini perbincangan antara pemain dengan majikan perlu dilakukan secara profesional dalam usaha mencari jalan penyelesaian terbaik dan berkesan terutama membabitkan gaji.

“Pemain perlu akur dengan apa juga keputusan yang dicapai walaupun berat untuk diterima, pemain tidak boleh berkeras dengan memaksa majikan membayar penuh gaji mereka dalam tempoh tertentu.

“Bagi persatuan bola sepak negeri dan kelab yang mempunyai sumber kewangan banyak mereka mungkin boleh membayar gaji penuh atau separuh selama tiga bulan bermula Mac. Bagi majikan kurang berkemampuan, pemain terpaksa menerima sebarang keputusan dibuat,” katanya.

Beliau menambah, sekiranya Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) tetap ingin meneruskan Liga M tanpa penonton, episod pemain tidak dibayar gaji pasti akan berlaku kerana sumber pendapatan hasil jualan tiket tidak dapat raih.