Liga Malaysia (Liga M) ditunda lagi

KUALA LUMPUR: Seperti dijangka, Liga Bolasepak Malaysia (MFL) membuat keputusan menunda tarikh sepak mula Liga Malaysia (Liga M) yang sepatutnya membuka tirainya 26 Februari ini kepada 5 Mac susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Ab Ghani Hassan berkata, keputusan itu dicapai susulan perbincangan dalam Mesyuarat Khas Ahli Lembaga Pengarah MFL secara dalam talian serta turut mengambil pandangan dan persetujuan daripada wakil pasukan dalam satu taklimat khas, semalam.

Bagaimanapun, MFL sudah menyediakan beberapa mekanisme seperti prosedur operasi standard (SOP) latihan yang lebih ketat dan SOP latihan kem latihan berpusat secara kuarantin bagi memastikan Liga M berjalan lebih efektif, selamat dan menghindari segala prospek pandemik COVID-19.

“Selepas mesyuarat dan mengambil kira pandangan daripada setiap wakil pasukan, kata sepakat dicapai untuk meminda tarikh sepak mula Liga M pada 5 Mac 2021 ini.

“Umum mengetahui bahawa status pandemik COVID-19 berada di paras yang cukup membimbangkan selain kebergantungan status PKP memainkan faktor tetapi MFL mahu bersedia dengan lebih awal.

“Selain permintaan rakan kongsi liga yang mahukan persiapan sekurang-kurang tiga minggu sebelum sepak mula, MFL juga mengambil faktor pusingan kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023, kejohanan Liga Juara-Juara Asia (ACL) dan Piala AFC menyebabkan keputusan pindaan tarikh Liga M itu dicapai secara bersama.

“Apa yang pasti, MFL sudah bekerjasama dengan Majlis Sukan Negara (MSN) berkenaan penyediaan SOP latihan dan MFL akan sekali lagi membentangkan cadangan ini kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi memastikan Liga M berjalan bebas daripada sebarang gelaja COVID-19,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam masa sama, Ghani mendedahkan Piala FA ‘dikorbankan’ selepas tiada dalam perancangan dalam kalendar musim ini bagi memastikan pasukan tidak dibebani dengan jadual padat sekali gus memberikan impak kepada kualiti Liga Malaysia.

“MFL juga telah membuat keputusan bahawa kalendar Liga M 2021 menyaksikan Liga Super, Liga Premier, Piala Malaysia dan Challenge Cup diteruskan.

“Tiada kejohanan Piala FA seperti tahun lalu di mana keputusan berat ini terpaksa dibuat demi memastikan keseimbangan jadual dan pasukan tidak dibebani jadual padat,” katanya.

Sumber: BH