Liga Malaysia 2020 Dibatalkan?

Menteri Pertahanan, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob berkata sebarang pertandingan atau perlawanan bola sepak di negara ini tidak dibenarkan berlangsung selepas tamat tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Beliau bercakap dalam sidang media hari ini selepas ditanyakan oleh seorang wartawan mengenai usaha Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), dan Malaysia Football League (MFL) yang mahu mendapatkan kelulusan daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk meneruskan saingan Liga Malaysia musim ini.

Menjawab kepada soalan wartawan tersebut, Ismail menjelaskan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan oleh kerajaan ialah tidak membenarkan sebarang aktiviti berkumpulan berlangsung dalam tempoh 6 bulan selepas tamat PKP.

“SOP standard bahawa perkumpulan tidak dibenarkan. Bola tidak boleh bermain sorang-sorang, Mesti ada team. Maknanya dua team ada 22 pemain. Bola bukan seperti badminton bermain single.

“Berdasarkan SOP standard, sudah tentu kita tidak boleh membenarkan pertandingan bola diadakan. Walaupun PKP ditamatkan pada hari ini misalnya, esok rakyat tidak boleh bergerak bebas seperti hari sebelumnya. Tentu saja ada SOP yang akan diperkenalkan dan harus dipatuhi selepas PKP ditamatkan,” jelas Ismail dalam sidang media.

Kenyataan daripada beliau itu memberi bayangan saingan Liga Malaysia musim ini mungkin dibatalkan dan ia memberi kesan yang besar kepada industri bola sepak negara.

sumber: vocketfc

Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam semalam berkata, apa jua arahan atau sekatan daripada KKM atau MKN, FAM terbuka sepenuhnya untuk menerimanya dan akan mematuhi segala arahan yang diberikan nanti walaupun ia membawa kepada pembatalan semua aktiviti bola sepak.